UPKO cadang wujud platform rentas parti arah politik profesional

Wilfred Madius
Wilfred Madius
A
A
A

KOTA KINABALU - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan agar platform merentasi parti dan ideologi dapat diwujudkan segera.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO berharap Tahun Baharu 2022 akan membawa ahli politik ke arah politik profesional.

"Pembaharuan dan reformasi undang-undang dan institusi negara diharap dapat dilakukan dengan segera serta menyeluruh demi kepentingan setiap pemegang taruh.

"UPKO, selaku komponen Pakatan Harapan (PH) akan terus memperjuangkan kepentingan politik profesional demi rakyat dan negara. Bagi tujuan ini, UPKO mencadangkan agar diwujudkan platform merentasi parti dan ideologi politik dengan segera," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2022 pada Jumaat.

Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, pada perutusan Tahun Baharu 2021, beliau telah menekankan harapan UPKO agar kesemua parti politik mengutamakan gencatan politik bagi boleh membolehkan rakyat menikmati dan menghayati kestabilan sekali gus memulihkan keyakinan rakyat.

"Rakyat telah penat dengan polemik dan krisis politik yang tiada kesudahan. Bagi mencapai hasrat itu, saya telah menekankan keperluan politik profesional di mana bagi pandangan saya ia dapat memulihkan kestabilan dan keyakinan rakyat.

"Malangnya, kita terus berhadapan dengan polemik mengenai defisit kestabilan holistik yang kita dahagakan. Sentimen ini disusuli dengan perubahan kerajaan Persekutuan pada Ogos lalu apabila kali ketiga dalam tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, UPKO berpendirian tegas dan mengulangi bahawa kesemua parti politik perlu menggandakan usaha melahirkan politik profesional yang mengutamakan kepentingan rakyat di kedua-dua peringkat negeri dan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Pandemik Covid- 9, krisis politik yang berterusan dan banjir buruk dengan sendirinya menunjukkan bahawa negara memerlukan strategi pentadbiran dan pengurusan yang konstruktif bagi mengembalikan kegemilangan dan pada masa sama memperkasa keyakinan serta kepercayaan pemegang taruh.

"Hanya pendekatan politik profesional yang mampu membawa kita ke arah itu. Kepimpinan politik profesional sahaja merupakan jawapan kepada segala krisis yang negara alami sekarang," katanya.