Tentera laut didakwa rogol, amang seksual remaja bawah umur

Mohd Muhazzam Shah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan, 17 Disember lalu.
Mohd Muhazzam Shah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan, 17 Disember lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang anggota tentera laut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan, 17 Disember lalu.

Mohd Muhazzam Shah Mohd Salem, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 17 tahun di dalam bilik tidur sebuah rumah di tingkat 1 Blok Biduri Apartment Bukit Permata, Lumut sekitar jam 11 malam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang sama di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Izzudin Jefri.

Fahmi Izzudin dalam rayuannya memohon mahkamah memberi jaminan rendah kerana Mohd Muhazzam Shah yang berpendapatan kira-kira RM2,900 sebulan telah berkahwin serta mempunyai tiga anak berusia lingkungan satu hingga enam tahun.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu juga masih perlu menanggung kedua orang tuanya yang telah uzur.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 11 Februari 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan perubatan dan serahan dokumen.