Tongkang besar tersadai di Pantai Melawi

Tongkang berkenaan dipercayai tersedai di kawasan berkenaan sejak awal pagi Khamis.
Tongkang berkenaan dipercayai tersedai di kawasan berkenaan sejak awal pagi Khamis.
A
A
A

BACHOK - Sebuah tongkang besar berukuran 100 meter ditemui hanyut di pesisir Pantai Melawi di sini pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, tongkang berkenaan dipercayai telah berada di lokasi tersebut sejak awal pagi Khamis.

"Pihak kami menemui tongkang berkenaan semasa membuat rondaan di kawasan berkenaan pada jam 5.30 petang.

"Siasatan awal mendapati tongkang berkenaan berketinggian lebih kurang lapan meter dan tertulis MMS 009 SC 4726 di sisi badannya," kata beliau kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, siasatan awal melibatkan seorang saksi yang juga pemilik sebuah pusat peranginan di kawasan berkenaan memberitahu, dia menyedari kehadiran tongkang berkenaan sejak awal pagi Khamis.

Beliau berkata, kini pihak polis sedang menyemak butiran pemilik dan maklumat tongkang berkenaan dengan Jabatan Laut Malaysia.

"Kita juga menyemak laporan-laporan dengan daerah sempadan sekiranya terdapat mana-mana syarikat atau pemilik persendirian yang kehilangan tongkang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada kami dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di talian 09-7788 222,"katanya.

Artikel Berkaitan: