Bekas anggota polis mengaku terima rasuah

Tertuduh diiring pegawai SPRM di mahkamah
Tertuduh diiring pegawai SPRM di mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas anggota polis dihukum penjara empat bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan rasuah lima tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fairuz Abd Jalil, 37, dan turut memerintahkan hukuman penjara 20 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan

Hukuman terhadap Mohd Fairuz dilakukan selepas mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh bagi kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didakwa menerima rasuah daripada Chan Heng Loy, 63, iaitu RM3,000, RM5,000 dan RM2,000 bagi melepaskan dan menyelesaikan kesnya yang dituduh membawa dan menjual rokok seludup di sekitar Taman Kiara, Sikamat di sini.

Kesalahan itu dilakukan pada 7 Disember dan 13 Disember 2014 antara jam 4.20 petang dan jam 7.30 malam di tiga lokasi berbeza iaitu Balai Polis Sikamat, Kedai Serbaneka di Taman Sri Pulai, Sikamat dan Berek Balai Polis Sikamat.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali manakala Mohd Fairuz tidak diwakili peguam.

Pada 8 Februari tahun lalu, Mohd Fairuz pertama kali didakwa di mahkamah namun membuat pengakuan tidak bersalah.

Artikel Berkaitan: