Keputusan VTL udara Malaysia-Singapura sebelum 21 Januari

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor yang diadakan secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor pada Khamis. - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor yang diadakan secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Malaysia dan Singapura sama ada disambung atau sebaliknya akan ditentukan dua hari sebelum inisiatif itu dijadualkan dilaksana semula pada 21 Januari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sekiranya inisiatif VTL udara disambung semula pada 21 Januari, jumlah jualan tiket penerbangan berkemungkinan akan dikurangkan sehingga 50 peratus daripada kuota sedia ada.

Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut tertakluk kepada kerajaan Singapura yang akan menilai situasi semasa Covid-19 di republik itu terutama terhadap perkembangan varian Omicron atau varian baharu lain.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Singapura pada 21 Disember lalu di mana beliau memaklumkan mengapa pihaknya mengambil keputusan menangguhkan inisiatif berkenaan, bukan ditamatkan.

"Pihaknya kemudian akan membuat penilaian sama ada ia akan disambung semula sepertimana dijadualkan pada 21 Januari atau ditangguh lagi. Keputusan itu hanya akan dimuktamadkan dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, Jalan Kebun Teh di sini pada Khamis.

Ka Siong berkata, bagi inisiatif VTL darat pula, ketetapan tersebut tertakluk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana ia di luar bidang kuasa kementerian beliau.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 22 Disember lalu memaklumkan, pihaknya memutuskan untuk menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL Malaysia dan Singapura bermula Jumaat hingga 20 Januari 2022.

Artikel Berkaitan:

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu susulan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron dikesan.

Tambah Khairy, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif VTL ini akan dibuka semula bermula 21 Januari 2022 selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.