Bantahan awal petisyen PRN DUN Sungai Udang pada 7, 11 Februari

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Melaka menetapkan 7 dan 11 Februari untuk mendengar bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang tewas pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini.

Dua lagi ialah Dr Mohd Aleef Yusof daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN itu semasa pilihan raya yang berlangsung pada 20 November.

Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavaty yang mewakili SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya berkata, tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Azman Abdullah semasa pengurusan kes pada Khamis. Azman dilantik untuk mendengar petisyen itu.

Pada 14 Disember lepas, Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen itu bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef, 35, atas dakwaan terdapat unsur rasuah pada PRN di kawasan tersebut.

Beliau menamakan Dr Mohd Aleef, yang menang dengan majoriti 530 undi dalam pertembungan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang dan SPR sebagai responden.

Dalam petisyennya, Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleef sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya sebelum dicalonkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding di Sungai Udang.

Mohamad Ali mendakwa, Dr Mohd Aleef tidak pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya di kawasan itu dan bergantung kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz untuk memperkenal beliau kepada pengundi.

Ikmal Hisham adalah bekas ahli UMNO yang menyertai Bersatu selepas BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau telah meletakkan jawatan dalam UMNO sebelum menyertai Bersatu pada 2019.
Artikel Berkaitan:


Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau memohon perisytiharan bahawa Dr Mohd Aleef tidak dipilih dengan sewajarnya dan PRN di kawasan itu adalah terbatal serta perintah atau relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - Bernama