Lima lagi insiden tanah runtuh direkodkan

Jumlah itu menjadikan keseluruhan insiden tanah runtuh yang berlaku di Selangor adalah 51 kes, Pahang (40), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga) dan Melaka (satu). - Foto 123rf
Jumlah itu menjadikan keseluruhan insiden tanah runtuh yang berlaku di Selangor adalah 51 kes, Pahang (40), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga) dan Melaka (satu). - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima lagi insiden tanah runtuh direkodkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pada Khamis menjadikan keseluruhan 126 kejadian tanah runtuh berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2021.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan pertambahan lima kejadian tanah runtuh itu berlaku membabitkan Pahang (dua kes) Selangor (dua kes) dan Kuala Lumpur (satu kes).

Jumlah itu menjadikan keseluruhan insiden tanah runtuh yang berlaku di Selangor adalah 51 kes, Pahang (40), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga) dan Melaka (satu).

Dalam pada itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bekalan elektrik di 852 kawasan yang terjejas banjir di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan telah dipulihkan setakat jam 12 tengah hari Khamis.

Ia meliputi 525 kawasan di Pahang, 183 kawasan di Selangor, 119 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.

“Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” menurut hantaran itu.

TNB Careline turut memberitahu, tiga kawasan di Selangor, dua kawasan di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kawasan di Pahang serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

Selain itu menurutnya, usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

Artikel Berkaitan:

TNB Careline juga menasihati pelanggan supaya memastikan peralatan elektrik yang ditenggelami banjir telah kering terlebih dahulu sebelum digunakan. - Bernama