MAFI segerakan penilaian kerugian golongan sasar

Ahmad Hamzah (dua,kanan) bersama Azulita (kanan) ketika penyerahan bantuan kepada ahli terjejas di PPK Temerloh pada Khamis.
Ahmad Hamzah (dua,kanan) bersama Azulita (kanan) ketika penyerahan bantuan kepada ahli terjejas di PPK Temerloh pada Khamis.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang menyegerakan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti kerosakan dan jumlah kerugian sebenar golongan sasar dalam menyediakan bantuan sewajarnya.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah memberitahu, kerajaan juga telah memperuntukkan dana berjumlah RM80 juta di bawah Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

Menurutnya, ia bertujuan membantu meringankan beban kumpulan sasar yang terkesan bagi menyediakan bantuan sewajarnya termasuk kepada Pertubuhan Peladang di seluruh negara serta ahli-ahli Peladang akibat bencana alam seperti banjir.

"MAFI melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga telah menyediakan pelbagai bantuan untuk meringankan beban mangsa banjir.

"Ini termasuk Bantuan Bekalan Makanan yang meliputi bantuan barangan makanan keperluan asas seperti beras, tepung, pulut, biskut, susu, minyak, telur dan sebagainya.

"Bantuan ini telah diserahkan kepada 400 penerima yang juga ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh yang terkesan akibat banjir," katanya lagi.

Beliau berkata sedemikian sempena lawatan kerja ke kawasan banjir ahli PPK Temerloh pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Datuk Azulita Salim.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad berkata, gerak kerja sukarelawan turut digerakkan di seluruh negara di bawah semua agensi kementerian terbabit.

"Selain itu, MAFI juga bersedia jika khidmat diperlukan dalam beberapa kawasan anak angkat kementerian iaitu di Raub dan Klang," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut meninjau kawasan projek yang terkesan dan musnah akibat banjir di bawah seliaan PPK Temerloh iaitu Projek Tanaman Fertigasi, Projek Ternakan Ikan Sangkar, Peladang Outlet (PO) PPK tersebut serta lima buah projek di bawah Jabatan Perikanan Temerloh.

Turut dijalankan, aktiviti gotong-royong membersihkan dua buah sekolah iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor dan SK Kuala Krau dengan kerjasama Parlimen Jasin.