X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Projek Canal City boleh diteruskan jika dijamin atasi banjir: MB

Datuk Seri Amirudin Shari
A
A

GOMBAK - Projek Canal City boleh diteruskan jika dijamin mampu mengatasi jumlah taburan hujan luar jangka seperti berlaku pada 18 Disember lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan tebatan banjir yang dibuat semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sebarang projek yang mahu dijalankan perlu menyelesaikan isu utama dihadapi.

"Kita tidak boleh 'copy paste', tapi kena tengok berapa banyak jumlah hujan dan air yang mampu ditampung. Tak kisah namanya Canal City atau nama lain sekali pun, projek itu perlu mampu menampung jumlah air yang tinggi.

"Kena terima hakikat pada 18 Disember lalu jumlah hujan tiga kali ganda daripada biasa, kalau buat terusan atau kedalaman tetap tidak dapat menampung kadar tersebut dan akan menyebabkan banjir," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula projek Canal City berikutan banjir besar yang berlaku di Selangor.

Amirudin berkata, kerajaan negeri mempunyai pelan jangka masa panjang tebatan banjir di lokasi hotspot yang dikenal pasti sejak 2008.

"Dalam tempoh tersebut, kita telah ambil langkah menangani banjir menerusi pembinaan kolam takungan serta mendalamkan sungai dan proses itu dilakukan secara berterusan.

"Sebab itu, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta ke RM60 juta untuk projek itu bersambung, bukan projek sehari.

"Tapi adakah Canal City solusi banjir, saya tidak boleh bagi jawapan kerana air sentiasa bergerak, bukan hanya tertumpu kepada satu stesen sahaja," katanya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan diteliti dan tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal sebaliknya keutamaan kini difokuskan kepada pembersihan dan penyampaian sumbangan.

Projek Canal City merupakan pembinaan terusan air utama sepanjang 18 kilometer (km) merentasi daerah Klang hingga ke Hulu Langat yang akan menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat bermatlamat mengalihkan 30 peratus air dari Sungai Klang ke Sungai Langat pada waktu puncak.

Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan khusus untuk projek tebatan banjir yang mula dibina pada tahun 2007 sehingga tahun 2009 tetapi tergendala apabila kerajaan Pakatan Harapan ambil alih Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!