Sila log masuk terlebih dahulu.

Jawatankuasa khas siapkan kajian cadangan mansuh hukuman mati

Wan Junaidi - Foto Bernama
Wan Junaidi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan memansuhkan hukuman mati akan menyerahkan hasil kajian mereka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak lama lagi.

Dalam kenyataan di sini, Wan Junaidi berkata, beliau kemudiannya akan membentangkan hasil kajian itu kepada kabinet, dan selepas kabinet diberi taklimat berhubung perkara itu, barulah keputusan mengenainya akan dimuktamadkan.

“Kita terima banyak gesaan untuk memansuhkan hukuman mati ini. Sebagai menteri kabinet, peranan saya adalah untuk mengakses keberkesanan hukuman ini sebagai langkah pencegahan. Kita perlu kaji perkara ini sedalamnya sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Kita juga perlu melihat sekiranya pemulihan pesalah, jika boleh dilaksanakan, akan menjadi pilihan yang lebih baik dan memelihara kepentingan masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan pada tahun 2019 untuk melihat maklum balas orang ramai terhadap cadangan itu di samping meneliti kesan terhadap keputusan sedemikian, dan diminta untuk melihat isu itu dari beberapa aspek, dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

“Satu tugas kritikal jawatankuasa ini adalah untuk menilai keberkesanan hukuman mati sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Wan Junaidi berkata, kajian itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memulihkan penjenayah, jika boleh, dan kemudiannya mengasimilasikan mereka kembali ke dalam komuniti masing-masing sebagai ahli masyarakat yang berguna.

“Sekiranya mereka telah menjalani hukuman penjara, membayar denda, benar-benar kesal dengan apa yang telah dilakukan dan dipulihkan sepenuhnya, kita tidak boleh menutup terus pintu bagi mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu rang undang-undang bagi meminda peruntukan berhubung hukuman mati, serta lain-lain undang-undang yang berkaitan, dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga 2022. - Bernama