JAS diminta kaji semula kelulusan PDF Lynas

Lynas
Lynas
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) digesa mengkaji semula kelulusan tapak pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

Pengurus Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hal Ehwal Parlimen Indera Mahkota, Zuraidi Ismail berkata, gesaan itu dibuat kerana tapak PDF Lynas dipercayai berdekatan dengan penempatan penduduk dan boleh mengancam kesihatan warga Kuantan.

"Kami dapat tahu mengenai keputusan itu daripada sebuah portal dan amat kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh JAS.

"Jadi, kami meminta supaya keputusan tersebut dikaji semula dan ditarik balik kerana ia melibatkan isu keselamatan dan kesihatan awam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama Penyelaras PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, Chan Chun Kuang.

Zuraidi menjelaskan, kawasan Perindustrian Gebeng telah diwartakan sebagai tempat perindustrian petrokimia dan bukannya tempat pelupusan sampah serta dijadikan tempat pelupusan sisa-sisa radioaktif yang mega.

Katanya, keputusan membenarkan pembinaan PDF di kawasan Perindustrian Gebeng akan menyebabkan lebih 10,000 pekerja di Gebeng dan penduduk yang berdekatan terdedah dengan risiko sisa radioaktif.

"Kawasan perindustrian ini berada di kawasan yang rendah dan mempunyai aras air bumi yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kami sangat khuatir perubahan iklim dunia pada masa hadapan akan menyebabkan kawasan ini kerap berlaku banjir dan tenggelam.

"Ini boleh menyebabkan risiko terjadinya bencana akibat pencemaran sisa-sisa radioaktif yang berada di situ," tegasnya.

Beliau menambah, di luar negara, sisa-sisa radioaktif dibuang ke kawasan yang jauh daripada penempatan manusia dan kawasan pembuangan itu adalah kering.

Menurut beliau, sebaliknya di Pahang, tapak yang diluluskan untuk pembinaan PDF adalah di atas tanah gambut, berdekatan dengan penempatan manusia dan mempunyai aras air bumi yang tinggi.

Katanya, ini sudah menggambarkan negara kita tidak menggunakan standard piawaian yang tinggi dalam melupuskan sisa radioaktif.

"Kami juga musykil dengan keupayaan pihak bertanggungjawab atau syarikat yang dilantik untuk menguruskan PDF Lynas.

"Hasil semakan mendapati syarikat ini tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk menguruskan sisa-sisa radioaktif," katanya.

Pada 7 Disember lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tapak cadangan bagi PDF Lynas masih kekal di kawasan Perindustrian Gebeng seluas 28.328 hektar dan kini dalam proses menunggu kelulusan pembinaan.

Katanya, laporan penilaian kesan radiologi (RIA) telah dihantar manakala Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) kawasan itu akan dikemukakan kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) esok sebelum kelulusan pembinaan diberikan.