Sumbang kotak makanan serendah RM50

Chee Heng (dua dari kiri) bersama KK Chai (dua dari kanan) melancarkan Program Sumbangan Malaysia baru-baru ini.
Chee Heng (dua dari kiri) bersama KK Chai (dua dari kanan) melancarkan Program Sumbangan Malaysia baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - KK Supermart sebuah rangkaian kedai serbaneka 24 jam bersama aktivis Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang melancarkan Program Sumbangan Malaysia bagi memberi peluang kepada orang ramai menyumbang kotak makanan.

Melalui inisiatif ini, rakyat Malaysia boleh menderma pakej kotak makanan bernilai RM50 di semua cawangan kedai serbaneka tersebut.

Setiap sumbangan akan diberikan resit sebagai bukti seterusnya kotak sumbangan ini akan diagihkan kepada golongan memerlukan di lokasi berhampiran cawangan KK Supermart.

Sebagai permulaan, pengagihan sumbangan ini disasarkan kepada tujuh negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Johor serta Pahang.

Chee Heng berkata, program julung kali diadakan oleh KK Supermart bersama Pertubuhan Amal Uncle Kentang itu membantu memudahkan penderma dan penerima sumbangan.

"Sumbangan boleh dibuat di mana-mana cawangan berdekatan dan diagihkan kepada penduduk berhampiran.

"Selepas ini saya tak perlu risau lagi, jika saya tidak ada di lokasi pun tetapi sumbangan ini masih dapat diteruskan dengan mudah.” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Program Sumbangan Malaysia usahasama KK Supermart dengan Uncle Kentang.
Program Sumbangan Malaysia usahasama KK Supermart dengan Uncle Kentang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, KK Supermart memanfaatkan kelebihan 570 cawangan yang ada dengan menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Selepas kami terima senarai penerima daripada Chee Heng, kami akan kumpulkan kotak makanan hasil pembelian pelanggan ini di cawangan yang mempunyai penerima teramai dalam satu-satu kawasan.

"Setiap kotak makanan bernilai RM50 ini mengandungi pelbagai produk keperluan asas seperti beras, gula, tepung, sardin dan sebagainya," katanya.

Beliau berharap, usahasama tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan agar memberi manfaat kepada semua yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama.

Tambah beliau, pihaknya akan giat menghulurkan bantuan dari semasa ke semasa.

"Usaha ini diharap dapat memberi peluang kepada syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk turut berganding bahu mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai Program Sumbangan Malaysia, boleh menghubungi Pertubuhan Amal Uncle Kentang di talian 03-8065 6666.