Covid-19: Labuan ambil langkah berjaga-jaga

Langkah berjaga-jaga diambil terhadap kemungkinan berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan mereka yang baru kembali ke Labuan selepas mengerjakan umrah. Foto 123RF
Langkah berjaga-jaga diambil terhadap kemungkinan berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan mereka yang baru kembali ke Labuan selepas mengerjakan umrah. Foto 123RF
A
A
A

LABUAN - Petugas kesihatan Labuan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan mereka yang baru kembali ke pulau itu selepas mengerjakan umrah.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, mereka yang baru kembail selepas mengerjakan umrah diwajibkan mengambil ujian mandatori polymerase chain reaction (PCR) sebelum dibenarkan memasuki pulau berkenaan.

“Mereka perlu menjalani ujian Covid-19 sebaik tiba di sini selepas mengerjakan umrah, dan mereka diwajibkan memakai peranti pengesanan digital pada pergelangan tangan sepanjang menjalani tempoh kuarantin dan pengawasan di rumah,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Beliau berkata, perintah kuarantin di rumah bagi anggota jemaah boleh dibatalkan sekiranya kediaman mereka tidak kondusif dan tidak sesuai untuk kuarantin.

“Petugas kesihatan kami akan akan melawat dan membuat pemeriksaan bagi melihat sekiranya kediaman mereka memenuhi kriteria bagi membolehkan mereka menjalani kuarantin di rumah, jika didapati tidak sesuai mereka perlu menjalani kuarantin di hotel,” katanya.

Dr Ismuni berkata, petugas kesihatan ketika ini diletakkan dalam keadaan siap siaga di Lapangan Terbang Labuan serta dua terminal feri bagi memantau kemasukan (pemeriksaan kesihatan rambang) dalam kalangan anggota jemaah umrah yang tiba di Labuan.

Sabtu lepas, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan semua individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari selepas pulang daripada menunaikan umrah, diwajibkan memakai peranti pengesanan digital berkenaan mulai minggu ini.

Beliau turut dilaporkan berkata, 10 negara dikenal pasti sebagai negara dengan risiko tinggi Covid-19 yang terdiri daripada United Kingdom, Amerika, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India, Nigeria serta Arab Saudi, dan mereka yang baru kembali daripada negara-negara ini diwajibkan memakai peranti pengesanan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: