Penternak di tiga negeri rugi hampir RM4 juta akibat banjir: MAFI

Ronald (kanan) melawat ladang penternakan di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Canggang, Kuala Langat pada Selasa.
Ronald (kanan) melawat ladang penternakan di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Canggang, Kuala Langat pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 160 penternak di Selangor mengalami kerugian dianggarkan mencecah sehingga RM2.1 juta akibat bencana banjir berdasarkan maklumat awal diterima Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia meliputi kematian ternakan seperti lembu, kambing, ayam, rusa, itik, lembu sado dan arnab serta kemusnahan stok makanan ternakan, kerosakan kandang dan peralatan ladang.

"Bagi negeri Pahang dan Negeri Sembilan pula, masing-masing direkodkan seramai 55 dan 48 penternak yang terjejas dengan nilai kerugian keseluruhan sebanyak RM1.5 juta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, beliau melawat ladang penternakan di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Canggang, Kuala Langat bagi meninjau ladang-ladang ternakan yang terjejas akibat bencana banjir.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor dan Presiden, Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Hussain Jaafar,

Pada Isnin, Ronald turut menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada beberapa penternak yang terjejas akibat banjir semasa lawatan beliau ke Kampung Asahan, Kuala Selangor.

Ronald (tengah) turut menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada beberapa penternak yang terjejas akibat banjir.
Ronald (tengah) turut menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada beberapa penternak yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya, pihak DVS juga telah mengaktifkan Bilik Bencana Banjir dan menggerakkan pegawai serta kakitangannya bagi menyelaras dan membantu memindahkan ternakan dari kawasan terjejas ke kawasan lebih selamat.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk pusat pemindahan segera sejurus berlakunya kejadian banjir yang tidak dijangka itu malah makanan ternakan, rumput kering (hay) dan garam jilat turut diagihkan sebagai bantuan kecemasan kepada penternak," katanya.

Ronald berkata, DVS akan terus membantu penternak menjaga kebajikan, keselamatan dan kesihatan haiwan-haiwan ternakan yang telah diselamatkan.

"MAFI juga sedang segerakan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti kerosakan dan jumlah kerugian sebenar golongan sasar bagi menyediakan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan dana berjumlah RM80 juta di bawah Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan bertujuan membantu meringankan bebanan kumpulan sasar yang terkesan akibat daripada bencana alam seperti banjir kilat yang melanda baru-baru ini.

"MAFI akan terus membantu semua yang terkesan khususnya golongan petani, penternak, peladang dan juga nelayan serta pengusaha-pengusaha di sepanjang rantaian agromakanan," katanya.