'Berkomplot cetak, terbit, jual dan edar bahan menghasut'

Lai didakwa bersubahat dengan negara asing dalam pertuduhan sebelum ini. - Foto Agensi
Lai didakwa bersubahat dengan negara asing dalam pertuduhan sebelum ini. - Foto Agensi
A
A
A

HONG KONG - Pendakwa raya Hong Kong pada Selasa mengemukakan dakwaan baharu ke atas taikun media, Jimmy Lai yang telah berdepan dua pertuduhan di bawah undang-undang keselamatan kontroversi yang dikuatkuasakan Beijing di hab kewangan Asia tersebut.

Lai, 74, yang juga pengasas akhbar prodemokrasi, Apple Daily tampil di mahkamah bersama enam bekas kakitangan tabloid itu yang diarahkan menutup operasi pada Jun lalu.

Di bawah pertuduhan terbaharu itu, Lai didakwa berkomplot untuk mencetak, menerbitkan, menjual, mengedarkan ‘bahan menghasut’ antara April 2019 dan 24 Jun 2021.

“Penerbitan bahan tersebut boleh membawa rasa kebencian atau penghinaan atau menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintah Hong Kong dan China,” menurut dokumen pertuduhan tersebut.

Pertuduhan sama turut difailkan ke atas enam bekas staf Apple Daily iaitu Ketua Editor, Ryan Law, Timbalan Ketua Editor, Chan Pui-man, Ketua Pegawai Eksekutif Next Digital yang merupakan syarikat induk Apple Daily, Cheung Kim-hung, kolumnis, Yeung Ching-kee, Editor Edisi Bahasa Inggeris, Fung Wai-king dan Editor Kanan, Lam Man-chung.

“Keenam-enam tertuduh itu didakwa terlibat konspirasi untuk melakukan pakatan sulit dengan elemen luar atau negara asing,” jelas dokumen itu lagi.

Media tempatan melaporkan kesemua defendan kekal direman setelah Majistret Peter Law menangguhkan pendengaran kes itu sehingga 24 Februari 2022.

Sebelum ini, Lai telah disabitkan kesalahan dalam beberapa kes perhimpunan haram di Hong Kong.

Artikel Berkaitan:

Beberapa sumber rapat beliau mendedahkan, pengasas jenama popular Giordano itu ditahan selama lebih setahun dan kini ditempatkan di kurungan bersendirian di penjara Stanley yang dilengkapi kawalan keselamatan ketat. - AFP