Syarikat insurans berdepan tuntutan banjir RM3 bilion

Antara kenderaan dihantar pemilik di sekitar Dengkil dan Shah Alam ke ZAS Auto, Dengkil bagi baik pulih selepas dilanda banjir baru-baru ini. - Foto Bernama
Antara kenderaan dihantar pemilik di sekitar Dengkil dan Shah Alam ke ZAS Auto, Dengkil bagi baik pulih selepas dilanda banjir baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Industri insurans am berdepan dengan tuntutan berkaitan banjir dianggarkan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion berikutan bencana alam yang melanda di beberapa kawasan dalam negara baru-baru ini.

Persatuan Industri Am Malaysia (PIAM) dalam satu kenyataan berkata, anggaran tersebut termasuk tuntutan peribadi yang sebenar dan berpotensi serta risiko komersial yang berpunca secara langsung daripada banjir kilat dan musim tengkujuh yang akan datang dalam beberapa minggu serta bulan akan datang.

Menurut kenyataan itu, sebagai tambahan kepada jumlah pembayaran tuntutan yang dianggarkan, industri insurans am turut menghulur bantuan dengan menyumbang RM2.43 juta kepada Dana Bantuan Banjir@Disember 2021 yang baru ditubuhkan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyokong komuniti permotoran yang terjejas teruk semasa zaman sukar ini.

“Inisiatif industri insurans am ini akan melebihi komitmen sedia ada oleh penanggung insurans sejak bencana banjir berlaku untuk mempercepatkan penyelesaian tuntutan, menyediakan langkah bantuan khas tambahan, dan bantuan ‘ad hoc ex-gratia’ lanjut, seperti yang ditentukan oleh penanggung insurans am individu,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, bantuan CSR itu pada awalnya adalah dalam bentuk subsidi ke arah pembersihan di bengkel untuk kenderaan yang terjejas secara langsung akibat banjir yang mana masih belum dibaiki lagi pada peringkat ini.

“Subsidi ini dihadkan sekali bagi setiap kenderaan sebanyak RM500 untuk kereta atau kenderaan perdagangan dan RM100 untuk motosikal.

“Pihak yang menuntut perlu mengemukakan bukti yang diperlukan tentang kerosakan banjir pada kenderaan mereka dan bukti perlindungan insurans terdahulu

"Kenderaan tersebut mestilah sama ada diinsuranskan pada masa ini (sebarang jenis polisi motor dengan atau tanpa perlindungan banjir adalah layak) atau kenderaan yang kali terakhir diinsuranskan pada 1 Jun 2021.

Artikel Berkaitan:

"Pada peringkat ini, dana akan ditutup sebaik sahaja jumlah yang dicagarkan sebanyak RM2.43 juta sudah habis digunakan," kata kenyataan itu.

Selaras dengan objektif tanggungjawab sosial korporat (CSR), PIAM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak atau industri lain terhadap Tabung Bantuan Banjir yang akan memanjangkan hayat dana itu dan seterusnya membantu lebih ramai pemandu yang terjejas.