Jumlah mangsa banjir di Selangor turun, empat negeri kekal

Penduduk setempat telah kembali ke rumah masing- masing setelah keadaan banjir semakin pulih ketika tinjauan di Kampung Terusan pada Isnin. - Foto Bernama
Tinjauan di beberapa kawasan antaranya Kampung Bukit Lata, Lachang, Terusan, Lubok Gong dan Siram mendapati banjir hampir semakin pulih. Sementara itu penduduk di sekitar Rantau Panjang mengambil langkah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir pada musim Monsun Timur Laut di Kelantan. -- fotoBERNAMA
Penduduk setempat telah kembali ke rumah masing- masing setelah keadaan banjir semakin pulih ketika tinjauan di Kampung Terusan pada Isnin. - Foto Bernama Tinjauan di beberapa kawasan antaranya Kampung Bukit Lata, Lachang, Terusan, Lubok Gong dan Siram mendapati banjir hampir semakin pulih. Sementara itu penduduk di sekitar Rantau Panjang mengambil langkah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir pada musim Monsun Timur Laut di Kelantan. -- fotoBERNAMA
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor terus berkurangan pagi ini manakala di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan tidak berubah sejak malam Isnin.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pagi ini, jumlah keseluruhan mangsa di kelima-lima negeri ialah 20,026 orang daripada 6,136 keluarga di 130 PPS berbanding 21,544 orang daripada 6,563 keluarga malam Isnin.

Di Selangor, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,751 orang di 39 PPS pagi ini berbanding 8,644 orang di 45 pusat PPS malam tadi.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berada pada tahap waspada dengan paras 3.66 meter pada 7.15 pagi tadi dan dalam trend menurun.

Sementara itu, Polis Selangor memaklumkan terdapat enam laluan masih dinaiki air, rosak dan ditutup untuk kenderaan melibatkan seliaan lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu.

Setakat 4 pagi Selasa, jalan yang ditutup ialah Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang), Jalan Genting Peras-Kuala Klawang (IPD Kajang) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra yang ditutup susulan berlubang akibat banjir (IPD Sungai Buloh).

Turut ditutup, jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang susulan rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT, Mutiara Damansara (IPD Petaling Jaya) manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja (IPD Hulu Selangor).

Di Pahang, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan 12,692 orang kekal berada di 90 PPS di enam daerah iaitu Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan, sejak malam tadi.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Kundang di Maran mencatatkan paras 21.17 meter pagi ini iaitu melebihi tahap amaran pada paras 21 meter.
Artikel Berkaitan:


Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung di Kuantan dan Pekan pada pagi ini manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir kekal 152 orang daripada 46 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok, di Pasir Mas, setakat 7 pagi tadi.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Jumlah mangsa banjir di Melaka pula, pada 8 pagi tadi kekal seramai 26 orang daripada lapan keluarga sejak malam Isnin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, hanya PPS SK Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa.

Jumlah mangsa banjir turut tidak berubah di Negeri Sembilan apabila Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor memaklumkan 58 orang daripada 19 keluarga masih berada di dua PPS di Jelebu sejak malam Isnin hingga pagi Selasa. - Bernama