Presiden Rusia beri amaran keras

Putin (gambar kecil) memberi amaran tegas beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan pilihan lain termasuk tindak balas ketenteraan jika tuntutan jaminan keselamatan dikemukakan pada awal bulan lalu gagal dipenuhi. - Foto Agensi
Putin (gambar kecil) memberi amaran tegas beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan pilihan lain termasuk tindak balas ketenteraan jika tuntutan jaminan keselamatan dikemukakan pada awal bulan lalu gagal dipenuhi. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Tentera Rusia telah mengadakan latihan ketenteraan sebagai persediaan untuk menangkis serangan udara jika dilancarkan pihak musuh.

Perkembangan terbaharu itu dilaporkan Interfax pada Isnin selepas kebimbangan semakin meningkat jika Moscow melancarkan operasi ketenteraan berskala besar yang dikhuatiri mencetuskan Perang Dunia Ketiga.

“Kira-kira 1,000 anggota menyertai latihan berhampiran sempadan Ukraine tersebut,” jelas laporan itu lagi.

Pada Ahad, Presiden Vladimir Putin memberi amaran tegas beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan pilihan lain termasuk tindak balas ketenteraan jika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) gagal memberikan jaminan terikat untuk menghalang penempatan tentera di Eropah Barat dan melarang keanggotaan Ukraine dalam pakatan tentera tersebut.

Menerusi laporan POLITICO, Putin berkata, terdapat kemungkinan peluru berpandu dilancarkan ke Ukraine jika bekas negara Kesatuan Soviet itu menyertai NATO.

“Kami tidak akan berundur. Mereka telah mendorong kami ke garisan merah. Segala keputusan kini bergantung kepada saranan pakar tentera Rusia,” tegasnya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih di Amerika Syarikat (AS) Jen Psaki memaklumkan NATO dijangka menolak syarat ditetapkan Putin.

“NATO yang akan memutuskan siapa bakal menganggotai pakatan itu dan keputusan bukan terletak pada tangan Moscow,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Presiden AS, Joe Biden mengancam untuk mengetatkan lagi sekatan terhadap Rusia jika ia meneruskan rancangan menceroboh Ukraine.

Pada Sabtu, tentera Rusia mengesahkan lebih 10,000 tentera Rusia telah kembali ke pangkalan selepas menyertai latihan ketenteraan selama sebulan di sempadan Kiev.

Difahamkan, puluhan ribu lagi tentera masih kekal ditempatkan di kawasan bersempadan Ukraine dan maklumat risikan memberi amaran pencerobohan seperti yang dirancang mungkin akan berlaku pada bila-bila masa walaupun berdepan bantahan Barat.

Sejak akhir-akhir ini, media di Rusia sering merujuk Kiev sebagai negara ‘jajahan Barat’ susulan sokongan yang semakin meningkat kepada mereka selain cubaan memburuk-burukkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dengan menggelarnya sebagai ‘penagih dadah’ ketika konflik semakin tegang.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menetapkan 12 Januari 2022 untuk mengadakan sesi dialog bersama Rusia.

Tarikh itu diputuskan selepas Jens Stoltenberg pernah membuat tawaran untuk berunding dengan Moscow di beberapa acara sebelum ini, namun tergendala dek konflik yang tercetus antara Rusia-Ukraine.

“Kami telah memaklumkan kepada Kremlin tentang tarikh yang dicadangkan itu,” kata jurucakap NATO.

Pada awal bulan lalu, Moscow mengemukakan tuntutan jaminan keselamatan kepada Barat yang menghendaki NATO bersetuju dengan beberapa syarat termasuk melarang sebarang aktiviti ketenteraan yang mungkin mengancam Rusia.

Difahamkan, mesyuarat dijadualkan selama dua hari bersama ketua tentera negara anggota NATO juga akan diadakan pada hari sama di Brussels.

Pada minggu lalu, Stoltenberg mengulangi sokongan beliau terhadap Ukraine dan menyelar penempatan pasukan tentara Rusia di sempadan Kiev serta perang retorik Moscow yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Sebelum ini, pakatan tentera asing dianggotai 30 negara itu pernah mengecam tindakan Rusia yang menguasai Crimea dari tangan Ukraine pada 2014 malah turut menggesa Moscow supaya menghormati kedaulatan negara jirannya. - Agensi