Fama sumbang 88 tan sayur melalui Program Mafi Prihatin

Rashid (tiga kiri) menyerahkan sumbangan pelbagai jenis sayuran kepada Mohd Norsham Nisam mewakili KYP Advanced Skills untuk dimasak dan diagihkan kepada mangsa banjir dan petugas barisan di daerah ini pada Isnin.
Rashid (tiga kiri) menyerahkan sumbangan pelbagai jenis sayuran kepada Mohd Norsham Nisam mewakili KYP Advanced Skills untuk dimasak dan diagihkan kepada mangsa banjir dan petugas barisan di daerah ini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyumbang lebih 88 tan sayuran dan buah-buahan serta lebih 23,000 set produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bernilai lebih RM340,000 melalui Program Mafi Prihatin, sejak Mei tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Fama (Operasi), Rashid Bahri berkata, bantuan berkenaan diagihkan kepada 40,257 penerima yang memerlukan termasuk mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mangsa banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Menurutnya, di bawah program itu, Fama turut membantu lebih 800 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terjejas untuk memasarkan produk keluaran mereka.

"Bagi negeri Pahang sahaja, sebanyak 18 tan sayuran dan buahan bernilai RM18,000 disediakan di bawah program ini.

"Seramai 1,800 keluarga dan 134 usahawan menerima manfaatnya," katanya ketila ditemui di majlis penyerahan sayuran sumbangan Fama Pahang kepada Kolej Yayasan Pahang (KYP) Advanced Skills Kubang Buaya, di sini, pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri dan Pengurus Korporat dan Pembangunan Perniagaan KYP Advanced Skills, Mohd Norsham Nisam Abd Malik.

Rashid berkata, hampir satu tan pelbagai jenis makanan telah disumbangkan untuk dimasak pihak KYP dan diagihkan kepada 1,500 mangsa banjir serta petugas barisan hadapan di daerah ini.

"Program penyediaan dan agihan makanan itu melibatkan pelajar KYP Advanced Skills dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kem Batu 10, di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rashid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemusnahan tanaman diusahakan peserta program ladang kontrak akibat banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Beliau berkata, selain usahawan tani terlibat, banjir yang melanda menjejaskan usahawan pemasar seperti pengusaha gerai jualan buah-buah dan sayur-sayuran serta Agrobazar Kedai Rakyat.

"Kami sedang memantau dan mengumpul maklumat berkaitan untuk mengenalpasti jumlah yang terlibat dan bentuk kerosakan serta kerugian dialami untuk bantuan sewajarnya," katanya.

Tambah beliau, bentuk bantuan bergantung kepada tahap kerosakkam produk dan barang niaga terutama melibatkan usahawan pemasar.