Jaip laksana proses kumpul al-Quran rosak akibat banjir

Foto 123rf (Gambar kecil: Noridzuan)
Foto 123rf (Gambar kecil: Noridzuan)
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan melaksanakan proses mengutip dan mengumpul naskah al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, ia akan dilaksanakan secara berperingkat bagi tujuan pelupusan mengikut tatacara ditetapkan syarak.

Menurutnya, usaha itu bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran serta bahan bercetak yang mengandungi ayat al Quran.

"Semua naskhah al-Quran yang dikumpulkan nanti akan dilupuskan di pusat pelupusan di Kampung Temin, Jerantut sebelum abu bahan bakar itu dilepaskan ke laut.

"Justeru kita meminta orang ramai yang memiliki al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir dikumpul bagi memudahkan proses kutipan sebelum dilupuskan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Noridzuan berkata, bahan bacaan berkenaan yang tidak boleh digunakan lagi boleh dikumpulkan di masjid kariah atau surau setempat.

"Pihak Jaip akan melaksanakan kutipan bagi semua naskhah al-Quran rosak yang dikumpulkan.

"Sebelum ini terdapat badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti mengumpul al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak kemudian diserahkan kepada Jaip," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam kejadian banjir di negeri ini awal Januari lalu, pihaknya telah mengumpul dan melupuskan lebih 15 tan al-Quran rosak di seluruh negeri.