Kerajaan disaran perkenal subsidi bersasar insurans bencana

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyarankan kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar skim insurans bencana banjir untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) serta perlindungan kebakaran.

Menurutnya, selain itu kerajaan juga boleh memperluaskan Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) untuk tujuan dan kumpulan sasaran tersebut.

“Perlindungan insurans amat penting kerana ia akan memberikan perlindungan kewangan kepada rakyat apabila bencana luar jangka seperti banjir atau kebakaran.

“Setahu saya memang ada syarikat insurans dan takaful menawarkan perlindungan untuk banjir serta kebakaran, tetapi tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah dan tidak berkemampuan untuk membelinya.

“Survey oleh syarikat Zurich Malaysia mendapati 74 peratus masyarakat Malaysia tidak mempunyai perlindungan insurans untuk banjir manakala 59 peratus tiada insurans kebakaran, ini adalah peratusan yang amat tinggi dan perlu ditangani,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau dimaklumkan terdapat skim perlindungan banjir yang berharga kurang dari RM90 setahun untuk pakej asas.

Jelas beliau, mungkin kerajaan boleh memberi subsidi RM50 secara ‘one off’ dalam bentuk baucar sebagai galakan atau perluaskan baucar PTV untuk tujuan sebegini.

“Syarikat insurans pula haruslah bersaing di pasaran terbuka untuk memberi harga dan perlindungan yang paling kompetitif untuk rakyat, namun jangan jadikan ini sebagai peluang untuk mewujudkan monopoli.

Artikel Berkaitan:

“Subsidi ini bertujuan untuk mencapai dua perkara, pertamanya adalah dengan membantu mereka yang tidak berkemampuan dan keduanya sebagai mekanisme mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan insurans dan takaful.

“Saya sedar ini tidak dapat membantu semua mangsa banjir yang terkesan, tetapi setidaknya ia dapat mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung jika bencana berlaku lagi pada masa hadapan,” ujarnya.