Peniaga ditimpa bencana perlu bantuan segera

Dianggarkan 50,000 perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) terjejas akibat banjir dan sebahagian besar peniaga terbabit dari Selangor dan Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Dianggarkan 50,000 perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) terjejas akibat banjir dan sebahagian besar peniaga terbabit dari Selangor dan Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

BELUM pun pulih sepenuhnya, baharu hendak bernafas selepas pembukaan semula ekonomi pada Oktober lalu ekoran kesan penularan wabak Covid-19 selama hampir 2 tahun, para peniaga ditimpa satu lagi bencana iaitu banjir besar.

Bencana alam yang berlaku khususnya di Selangor pada minggu lalu di luar jangkaan banyak pihak termasuk kerajaan.

Peristiwa ngeri yang berlaku pastinya membawa kesan ketara kepada mangsa banjir yang dilihat kebanyakannya adalah penduduk pinggir ibu kota yang terdiri daripada golongan pendapatan rendah dan sederhana.

Menurut laporan SME CORP, dianggarkan 50,000 perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) terjejas akibat banjir dan sebahagian besar peniaga terbabit dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Seorang peniaga yang mempunyai beberapa stor burger di Taman Seri Muda, Shah Alam, menjelaskan sebenarnya kesan kerugian perniagaan akibat banjir lebih besar daripada kerugian dialaminya berbanding ancaman Covid-19.

Ini kerana peniaga makanan bukan sahaja kerugian bahan mentah segar yang masih tersimpan di dalam peti sejuk, malah peralatan elektrik turut rosak.

Hal sama turut dialami peniaga kedai perabot, yang boleh dikatakan rugi besar kerana semua barangan perabot rosak akibat terendam dalam air banjir selama beberapa hari.

Seperti dilaporkan kerugian pasar raya runcit akibat banjir mencecah jutaan ringgit dan begitu juga kerugian yang dialami kedai peralatan 'hardware' dan kedai bakeri yang melibatkan peralatan dapur berskala besar.

Artikel Berkaitan:

Melihat angka yang tinggi ini, bantuan jangka pendek perlu dilakukan segera bagi meringankan beban kewangan para peniaga terbabit.

Perlu diingat sebahagian besar PMKS adalah pengeluar produk sokongan bagi menyokong industri besar. Kegagalan PMKS boleh menjejaskan rantaian bekalan produk atau perkhidmatan kepada industri induk.

Kerajaan dan institusi perbankan perlu mencari mekanisme terbaik bagi membantu peniaga untuk bangkit semula kerana mereka menghadapi kerugian berganda akibat banjir dan Covid-19 yang ketika ini masih belum reda.