Timbang semula keputusan tangguh kebenaran rapat saf solat jemaah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang disifatkan masih melengah-lengahkan kebenaran untuk merapatkan saf solat jemaah di masjid dan surau seluruh negara.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, alasan yang diberikan iaitu untuk menilai situasi varian terbaru Covid19, Omicron, amat lemah setelah berapa jabatan agama negeri sudah pun bersedia untuk melaksanakan solat dengan kapasiti penuh serta merapatkan saf.

"Kami berharap agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar mempertimbangkan semula keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan solat secara berjemaah yang diperintahkan oleh ALLAH SWT ini dan menggariskan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang lebih berkesan.

"Kami difahamkan pihak jawatankuasa masjid di beberapa buah negeri sudah pun bersedia untuk melaksanakan apa jua SOP tambahan bagi mengembalikan semula syariat ibadah solat berjemaah yang sangat dituntut ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, beliau turut menggesa agamawan supaya memberikan kesedaran dan kewajaran dalam mengembalikan semula unsur pengimarahan masjid melalui kaedah solat berjemaah yang disarankan.

"Saya meminta agar para agamawan dan alim ulama supaya tampil untuk memberikan kesedaran dan kewajaran bagi menimbang secara serius untuk solat berjemaah menurut cara yang telah ditetapkan iaitu dengan saf yang rapat, dan tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada Menteri Kesihatan semata-mata," ujarnya.

Pada 16 Disember lalu, Khairy Jamaludin dilapor berkata, KKM memerlukan tempoh masa beberapa minggu lagi sebelum mengeluarkan nasihat berhubung kebenaran merapatkan saf bagi jemaah di masjid.

Tempoh masa itu diperlukan pihaknya untuk memantau kesan gelombang Omicron terlebih dahulu sebelum mengeluarkan nasihat berhubung isu saf di masjid.

Artikel Berkaitan: