'Persiapan perkahwinan anak semua musnah dalam sekelip mata'

Antara sampah pukal mangsa banjir yang diuruskan oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd. - Foto Bernama
Antara sampah pukal mangsa banjir yang diuruskan oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang imam mengakui terkilan apabila majlis perkahwinan anak perempuannya yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu terpaksa dibatalkan akibat bencana banjir yang melanda di seluruh kawasan kediamannya.

Abdul Kadir Haji Laludin, 60, berkata, anak perempuannya yang bakal berkahwin itu turut bersedih kerana segala perancangan dan persiapan perkahwinan telah dilakukan namun, semuanya musnah dalam sekelip mata.

Ujarnya, dia dan keluarga bakal menantunya telah berbincang dan bersetuju untuk menunda majlis tersebut pada tahun hadapan kerana hampir kesemua peralatan dan persediaan majlis berkenaan rosak.

"Setelah berbincang (dengan keluarga pihak pengantin lelaki), kami akan buat (majlis nikah) secara kecil-kecilan pada 20 Februari 2022.

"Mungkin saya akan panggil dalam 50 orang sahaja. Sewa satu khemah sebab dah tak ada kemampuan.

"Pihak (pengantin) lelaki pula akan jemput kami dalam 50 orang pada keesokkan harinya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu dalam Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters di Kampung Bestari Jaya.

Pada Isnin, Sinar Harian melancarkan Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters dengan serta-merta di seluruh negara bagi membantu golongan yang terjejas akibat banjir besar.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia tidak menyangka kejadian banjir yang menimpa keluarganya kali ini berbeza dengan apa yang berlaku sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah tinggal di sini hampir 60 tahun tetapi tahun ini adalah banjir yang paling besar di mana saya kehilangan segala perabot, kelengkapan perkahwinan anak saya yang saya sudah siap dengan bahan makanan dan sebagainya (tetapi) dah tak boleh buat apa-apa lagi dah.

"Saya tidak sangka (banjir besar ini berlaku) dan kita terpaksa batalkan (majlis nikah)," ujarnya.