Polis cari lelaki bantu siasatan kes dadah

Polis mengesan seorang lelaki berusia 45 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah bernilai RM33,260 di Kampung Perah Slow Machang, Pasir Mas pada Jumaat.
Polis mengesan seorang lelaki berusia 45 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah bernilai RM33,260 di Kampung Perah Slow Machang, Pasir Mas pada Jumaat.
A
A
A

PASIR MAS - Polis mengesan seorang lelaki berusia 45 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah bernilai RM33,260 di Kampung Perah Slow Machang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebelum itu pada jam 6.45 petang pihaknya mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam yang diletakkan di tepi hutan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menghampiri kereta tersebut dan pemeriksaan mendapati kereta itu berkunci serta tiada orang di dalamnya.

"Pada masa yang sama, tiba-tiba terdengar bunyi pergerakan dari dalam hutan di hadapan rumah tersebut anggaran jarak 20 hingga 30 meter.

"Anggota terus masuk ke kawasan dalam hutan, namun mendapati tiada kelibat orang," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menemui barangan kes di atas tanah iaitu satu beg silang berwarna coklat mengandungi 87.5 gram heroin, 324 biji pil yaba dan 1.0 gram syabu.

Katanya, polis turut menemui kad pengenalan suspek, kad bank, kunci kereta, wang tunai bernilai RM87 dan dua buah telefon.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau dan kali terakhir ditangkap pada Mei 2019.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut membuat serbuan di alamat yang terdapat pada kad pengenalan, namun tiada penghuni," katanya.

Tambahnya, polis kini giat mengesan suspek dalam usaha membanteras dadah di negeri ini.