Bila FAM kena rembat, BAM pula kena smash pancung

Cheng Hoe memberi arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan di Stadium Yishun, Singapura baru-baru ini. - Foto FB FAM
Cheng Hoe memberi arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan di Stadium Yishun, Singapura baru-baru ini. - Foto FB FAM
A
A
A

PADA Ahad lalu, 19 Disember 2021 menjadi satu lagi detik suram dalam arena bola sepak Malaysia apabila skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe tersingkir seawal peringkat kumpulan saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Kegagalan melepasi peringkat kumpulan yang menampilkan Vietnam, Indonesia selain Kemboja dan Laos itu sekali gus menyaksikan sasaran final yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada edisi kali ini gagal dicapai.

Seperti diramal, Harimau Malaya tidak berdepan masalah membenam Kemboja dan Laos - lawan yang dianggap mudah dalam saingan Kumpulan B.

Namun, ujian sebenar Harimau Malaya apabila berdepan Vietnam selaku penyandang juara dan musuh tradisi, Indonesia.

Berdepan Vietnam dan Indonesia, Harimau Malaya tampak longlai sehingga mudah diaibkan dengan lawan yang tampak lebih bersedia. Tewas 0-3 kepada Vietnam sebelum dimalukan Indonesia dengan kekalahan 4-1 sudah cukup membuktikan 'kelesuan' Harimau Malaya.

Dua kekalahan berturut-turut dalam tempoh seminggu itu akhirnya menyaksikan Harimau Malaya ditunjukkan 'jalan keluar' - situasi yang sama sekali tidak 'direstui' peminat dan penyokong bola sepak Malaysia.

Tidak lama selepas 'menangisi' kegagalan Harimau Malaya di bumi Singapura, komuniti sukan tanah air khususnya peminat badminton menerima perkhabaran kejayaan anak kelahiran Pulau Pinang, Loh Kean Yew muncul juara dunia acara perseorangan lelaki.

Begitupun, satu hakikat yang perlu ditelan peminat badminton tempatan - pemain berusia 24 tahun yang menduduki ranking ke-24 dunia itu mewakili Singapura dan bukan negara kelahirannya, Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dengan kejayaannya itu, Kean Yew kini mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain Singapura pertama memenangi pingat emas Kejohanan Dunia - satu pencapaian yang belum pernah diraih mana-mana pemain Malaysia.

Kean Yew
Kean Yew

Sebaliknya, kita hanya boleh berbangga dengan pencapaian lapan pingat perak dan 13 gangsa yang dibawa pulang pemain Malaysia setakat ini.

Bekas jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei muncul pemain terbaik apabila muncul naib juara edisi 2011, 2013 dan 2015.

Di sebalik perkhabaran di Singapura dan Sepanyol, pemain skuasy negara, Ng Eain Yow menghadirkan keceriaan apabila menamatkan kemarau selama sedekad Malaysia untuk menjuarai Kejohanan Individu Asia 2021 di Islamabad, Pakistan.

Kejayaan Eain Yow menjuarai kategori lelaki menyaksikan dia yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 mengikut jejak langkah bekas pemain negara, Mohd Nafiizwan Adnan yang muncul juara kejohanan sama pada edisi 2011.

Itu antara imbasan cerita sukan negara pada Ahad lalu. Tetapi tumpuan peminat sukan tanah air sudah pasti terarah kepada kegagalan Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 dan kejayaan Kean Yew menjuarai Kejohanan Dunia kali ini.

Tatkala FAM 'dibantai' penyokong bola sepak negara atas prestasi hambar Harimau Malaya di Singapura, BAM pula tidak terkecuali menerima tempias kritikan peminat badminton gara-gara Kean Yew muncul juara dunia di Sepanyol.

Suka atau tidak, setuju atau tidak, baik FAM mahupun BAM, kedua-dua badan induk sukan itu harus merangka strategi dan hala tuju baharu.

Apa yang berlaku pada Ahad lalu boleh dianggap sebagai wake up call buat FAM dan BAM.

Jangan sampai dah terhantuk baru nak tengadah. Wake up call kali ini tidak boleh dianggap sekadar 'panggilan biasa-biasa'.

Anggap saja ia 'panggilan kecemasan' yang menuntut komitmen menyeluruh barisan kepimpinan FAM dan BAM.

Tahun 2022 akan membuka tirainya tidak lama lagi. Jadikan rentetan cerita suka duka sepanjang tahun ini sebagai pengalaman dan pengajaran berguna.

Reset apa yang patut, perkemas apa yang kurang, nescaya kejayaan yang diidam-idamkan bakal hadir pada akhirnya.