'Sheikh Jarrah milik penduduk Palestin'

Pihak berkuasa Israel cuba mengheret penduduk Palestin yang enggan berganjak dari tanah yang dirampas pendatang Yahudi di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah.
Pihak berkuasa Israel cuba mengheret penduduk Palestin yang enggan berganjak dari tanah yang dirampas pendatang Yahudi di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah.
A
A
A

BAITULMAQDIS - Kisah kawasan kejiranan Sheikh Jarrah yang didiami penduduk Palestin pernah menjadi tumpuan komuniti antarabangsa susulan protes membantah tindakan rejim Zionis yang sewenang-wenangnya mengusir komuniti tersebut pada April dan Mei lalu hingga mencetuskan konflik baharu Israel-Palestin yang berlarutan selama 11 hari.

Kira-kira lapan bulan kemudian, isu tersebut kembali mendapat perhatian ramai selepas insiden serangan melibatkan pelampau Yahudi dan polis Israel ke atas penduduk Palestin yang tanpa perikemanusiaan memaksa mereka meninggalkan kediaman masing-masing semakin meningkat sejak awal bulan lalu.

Kumpulan protes menuntut komuniti antarabangsa menyelamatkan Sheikh Jarrah.
Kumpulan protes menuntut komuniti antarabangsa menyelamatkan Sheikh Jarrah.

Selain gangguan berterusan, penduduk Palestin turut menolak kompromi yang dibuat mahkamah Israel dan tawaran penyelesaian kewangan demi untuk mendapatkan tanah di kawasan kejiranan tersebut yang akan digunakan untuk membangunkan projek penempatan pendatang Yahudi.

Seorang penduduk Palestin, Abdel Fattah Skafi mendakwa dia ditawarkan AS$5 juta (RM21 juta) sebagai pertukaran untuk merampas kediamannya di kawasan seluas lebih 100 meter persegi yang terletak bersebelahan dengan penempatan Yahudi di Sheikh Jarrah.

Menurutnya, dia bersama 14 ahli keluarganya tidak mudah terpedaya dengan tawaran wang sebanyak itu kerana mereka juga akan terus berjuang bersama seperti keluarga lain untuk mempertahankan tanah tersebut.

"Setiap hari ahli keluarga kami diserang oleh pelampau Yahudi malah ada serangan dalam bentuk lisan selain membaling batu dan sengaja membuat bising pada waktu malam sebagai cubaan untuk mengusir penduduk Palestin," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Rejim Zionis cuba mengusir kumpulan penduduk Palestin yang mempertahankan hak mereka di kawasan kejiranan tersebut.
Rejim Zionis cuba mengusir kumpulan penduduk Palestin yang mempertahankan hak mereka di kawasan kejiranan tersebut.

Jelasnya lagi, kedudukan Israel terhadap Sheikh Jarrah sebenarnya 'lemah' kerana dokumen pemilikan yang diperoleh rejim Tel Aviv adalah palsu.

Di bawah undang-undang kontroversi Israel yang diluluskan pada 1970, pendatang Yahudi yang pernah menetap di kawasan itu sebelum 1948 dikatakan boleh membuat tuntutan, namun penduduk Palestin tidak diberikan hak sama walaupun kira-kira 28 keluarga Palestin telah mendiami Sheikh Jarrah secara turun-temurun sejak 1956.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) memberi amaran kira-kira 970 penduduk Palestin berisiko diusir secara paksa dari Baitulmaqdis Timur disebabkan kes yang difailkan oleh kumpulan pelampau Yahudi kepada mahkamah Israel.

Sementara itu, pelapor khas PBB menyifatkan situasi di Sheikh Jarrah telah menjadi simbol ancaman pemindahan secara paksa yang dihadapi sebahagian besar keluarga Palestin bertujuan untuk mewujudkan bandar didiami majoriti penduduk Yahudi.

Kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur yang menjadi rebutan kumpulan pendatang Yahudi.
Kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur yang menjadi rebutan kumpulan pendatang Yahudi.

Kali terakhir insiden pengusiran paksa penduduk Palestin di Sheikh Jarrah berlaku pada 2017 dan tindakan itu telah diperhebatkan kira-kira empat tahun kemudian.

Keluarga Sheikh Jarrah sebenarnya berasal daripada kumpulan pelarian dalam negara yang terlibat dalam kempen pembersihan etnik atau digelar Hari Nakba (malapetaka) pada 1948 yang menyebabkan jumlah populasi berkurangan daripada kira-kira 700,000 kepada 165,000 penduduk Palestin.

Pemerintah Jordan yang menguasai Baitulmaqdis Timur pada masa itu kemudiannya memberikan kawasan tersebut kepada penduduk Palestin pada 1950-an yang kemudiannya dibangunkan sebagai penempatan komuniti tersebut yang didiami sehingga kini.