PJS belum iktiraf mana-mana pihak menerajui PAFA

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

PEJABAT Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengambil perhatian serius mengenai kenyataan disiarkan oleh sebuah media tempatan pada 23 Disember lalu yang mendakwa badan itu mengiktiraf 14 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Malah menurut Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof, kenyataan yang mendakwa PJS telah membuat keputusan bahawa pemecatan 12 ahli gabungan persatuan itu tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan dan mengiktiraf Kongres Luar Biasa PAFA anjuran 14 ahli gabungan pada 19 Disember adalah tidak tepat.

"Sehingga kini, PJS masih belum menerima sebarang pelaporan mengenai Kongres yang telah diadakan dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan dalam menentusah atau mengiktiraf mana-mana pihak dalam menerajui PAFA.

"Adalah wajar PJS meneliti terlebih dahulu laporan tersebut dan membuat semakan sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Namun pada masa sama, Ibrahim mengakui bahawa PJS telah menerima kunjungan daripada Persatuan Bolasepak Melayu Perak pada 9 Disember lalu mewakili ahli gabungan PAFA bagi membuat aduan mengenai pemecatan ahli gabungan yang didakwa dibuat tidak mematuhi Perlembagaan PAFA.

"Dalam hal ini, PJS telah mengadakan perjumpaan dengan pihak berkaitan pada 20 Disember lalu bagi mendapatkan penjelasan dan dokumen-dokumen sokongan bagi menentusahkan dakwaan yang telah dibuat," ujarnya.

Pada masa sama Ibrahim menasihati supaya mana-mana pihak bertelagah tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan, sebaliknya merujuk kepada PJS bagi mendapatkan maklumat tepat.

Artikel Berkaitan: