Tingkat sistem amaran awal bencana

Rakaman gambar situasi banjir di sekitar kawasan Sri Muda yang ditenggelami air banjir.
Rakaman gambar situasi banjir di sekitar kawasan Sri Muda yang ditenggelami air banjir.
A
A
A

SETELAH enam hari berlakunya tragedi banjir besar, warga Lembah Klang yang terkesan akibat limpahan air ‘menakluki’ laluan daratan, dilihat mula kembali ke kediaman masing-masing.

Mereka sudah tidak mampu lagi untuk mengeluh nasib setelah berdepan detik-detik hitam yang tidak pernah dijangka. Masing-masing sudah mula menerima hakikat bahawa mereka adalah mangsa.

Kehidupan asal mereka bagaikan hilang dibawa arus dan tenggelam bersalut lumpur. Mereka perlu membinanya semula berbekalkan kekuatan yang ada demi masa depan masih bersisa.

Penulis percaya, ketika ini, bukan hanya mangsa banjir yang sedang mengalami trauma atas kejadian itu, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia khususnya penduduk lain di Lembah Klang sendiri.

Justeru, tidak keterlaluan jika penulis katakan, trauma itu membuatkan ramai mula cakna tentang perkembangan kaji cuaca yang selama ini agak hambar di mata.

Sebarang perkembangan susulan ramalan kaji cuaca yang dikemaskini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah menjadi tumpuan kita semua.

Penulis terfikir, alangkah baiknya jika ‘fenomena’ cakna ini berlaku lebih awal lagi, sebelum ramai keluarga tersadai dan berlapar atas bumbung rumah sendiri.

Bukannya mahu menidakkan takdir, atau menunding jari kepada sesiapa, hakikatnya, bagi penulis, setiap daripada kita tidak kira sebagai masyarakat, pemimpin dan agensi, bertanggungjawab penuh atas segala kegagalan kesiapsiagaan yang menjadi topik perbalahan ramai ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Memang benar, kejadian bencana alam adalah hal yang sememangnya sukar diduga. Namun, sesuatu perkara yang berisiko mampu diramal bersandarkan kepakaran dan kajian dijalankan.

Kerana itu juga MetMalaysia diwujudkan dan ini selari dengan misinya iaitu ‘Membekal perkhidmatan meteorologi, iklim dan geofizik yang cekap dan berkesan untuk kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan lestari selaras dengan keperluan negara dan antarabangsa’.

Bahkan, secara spesifiknya, elemen ‘Meningkatkan keberkesanan perkhidmatan cuaca bagi mengurangkan risiko bencana’ juga antara yang digariskan sebagai teras strategik agensi ini.Namun, sejauh mana keberkesanan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh agensi ini memberi tindak balas terhadap tindakan agensi lain berkaitan termasuk masyarakat sendiri?

Persoalan ini disuarakan oleh Pakar Meteorologi, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah, yang dilaporkan berkata, amaran telah diberikan mengenai hujan lebat berterusan dijangka melanda Lembah Klang susulan perkhidmatan kaji cuaca di tiga negara telah mencerap sistem tekanan rendah yang menyebabkan hujan selama berhari-hari.

Beliau mempersoalkan peranan yang sepatutnya dilaksanakan lebih awal oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, beliau mengesyorkan agar kerajaan menerima guna sistem amaran Covid-19 bagi memberi amaran awal bencana kepada masyarakat dengan memanfaatkan media sosial dan sistem pesanan ringkas.

Ini bermakna, bagi pendapat penulis, pada sisi sebenar, MetMalaysia sendiri perlu diperkasakan agar lebih menonjol dalam menyebarkan sebarang maklumat perubahan iklim.

Jika kerajaan sanggup menyediakan peruntukan besar untuk sebarang kempen kesihatan demi keselamatan awam, fokus sama juga wajar diberikan terhadap usaha untuk menjadikan masyarakat lebih ‘celik cuaca’ di samping memastikan agensi lain yang berkaitan lebih bersedia.

Faktor ‘tidak mahu timbulkan panik’ sudah tidak relevan lagi, sebaliknya semua pihak harus bertindak segera lebih-lebih lagi melibatkan kawasan yang tiada dalam senarai musim banjir setiap hujung tahun.

Pada masa sama, untuk masyarakat, penulis berpendapat sudah tiba masanya tragedi ini dijadikan iktibar dan titik tolak untuk kita lebih bersedia, sekurang-kurangnya dalam hal menyediakan beg kecemasan yang sering dianggap sebagai perkara remeh selama ini.

Masih ingatkah tentang tips menyediakan beg kecemasan yang sering dikongsi dan disebarkan di media sosial? Berapa peratus daripada kita yang benar-benar melakukannya?

Atau sebenarnya ramai yang sekadar berkongsi dengan status untuk rujukan masa depan hakikatnya tidak pernah ambil peduli.

* Nurhidayah Hairom ialah wartawan Sinar Harian Nasional