151 pekebun nanas di tiga negeri rugi akibat banjir

Bencana banjir itu menjejaskan pekebun di tiga negeri dengan Selangor merekodkan bilangan tertinggi melibatkan 119 pekebun diikuti Pahang (30 pekebun) dan Perak (dua pekebun). - Foto 123rf
Bencana banjir itu menjejaskan pekebun di tiga negeri dengan Selangor merekodkan bilangan tertinggi melibatkan 119 pekebun diikuti Pahang (30 pekebun) dan Perak (dua pekebun). - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Musibah banjir yang melanda beberapa negeri sejak Sabtu lepas menyebabkan 151 pekebun nanas terpaksa menanggung kerugian, gara-gara kawasan tanaman mereka seluas 125.9 hektar turut terjejas.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, bencana banjir itu menjejaskan pekebun di tiga negeri dengan Selangor merekodkan bilangan tertinggi melibatkan 119 pekebun diikuti Pahang (30 pekebun) dan Perak (dua pekebun).

Menurut Dr Sahruddin, LPNM juga mengenal pasti empat pengusaha Industri Asas Tani Nanas (IAT) di Selangor yang turut terjejas.

"LPNM akan membantu pekebun dan pengusaha nanas terjejas menerusi bantuan awal pemulihan iaitu melalui peruntukan Tabung Bencana LPNM.

"Melalui tabung tersebut, LPNM memberi bantuan melibatkan input pertanian seperti benih dan baja sebanyak RM2,500 per hektar dengan bantuan maksimum, empat hektar," katanya menerusi kenyataan pada Khamis, sambil memaklumkan inisiatif berkenaan dapat membantu pekebun dan pengusaha serta pengusaha IAT yang terjejas.

Sebelum ini, inisiatif Tabung Bencana itu yang dilaksanakan selama 10 bulan bermula Januari lepas telah membantu 51 pekebun nanas yang terjejas ekoran musibah banjir serta kemarau melibatkan kawasan seluas 50 hektar.

Selain itu, LPNM juga akan memanjangkan permohonan bantuan untuk golongan berkenaan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Tabung Bencana MAFI.

Katanya, Program MAFI Prihatin yang telah dilaksanakan sejak awal tahun ini, melibatkan pemberian bantuan keperluan asas dan bekalan makanan, akan turut diteruskan bagi membantu golongan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, LPNM telah menyalurkan sebanyak 3,500 bakul makanan dan lebih 50,000 buah nanas sebagai sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19," katanya.

Bagi mewujudkan platform aduan kepada pengusaha terjejas, LPNM telah membuka talian hotline bencana banjir 019-8190874/019-8190765 pada 19 Disember lepas atau boleh menghubungi terus pejabat LPNM negeri. - Bernama