Bantuan Wang Ihsan mangsa banjir disegerakan: Nadma

Aminuddin ketika sidang akhbar harian Ops Banjir di Taman Sri Muda di sini pada Khamis.
Aminuddin ketika sidang akhbar harian Ops Banjir di Taman Sri Muda di sini pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir akan disegerakan kepada ketua isi rumah (KIR) mangsa yang terjejas.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pemberian itu layak kepada mangsa yang terjejas sama ada yang berpindah atau tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, pemberian BWI terbahagi kepada dua iaitu bantuan RM1,000 kepada semua KIR mangsa yang terjejas dan RM5,000 bantuan pengurusan kematian kepada waris mangsa meninggal dunia.

"Syarat utama adalah mesti ada Mykad, merupakan mangsa bencana dan pendaftaran KIR perlu dibuat menerusi ketua kampung, penghulu serta ketua komuniti di kawasan masing-masing," katanya ketika sidang akhbar harian Ops Banjir di Taman Sri Muda di sini pada Khamis.

Aminuddin berkata, Nadma sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan mangsa yang terlibat menerima segera bantuan-bantuan yang dijanjikan.

"Nadma dan Kementerian Kewangan (MOF) juga akan memudahkan proses permohonan termasuk mempercepatkan penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) sebagai penyaluran fasa satu bagi proses pengagihan bantuan kepada mangsa terjejas," katanya.

Sementara itu, setakat jam 8 pagi Khamis, sebanyak tujuh negeri melibatkan 24 daerah di seluruh negara masih terjejas dengan bencana banjir iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Difahamkan, seramai 67,889 orang mangsa direkodkan masih berada di 419 PPS.

Artikel Berkaitan: