Maut terjatuh ketika selenggara bumbung pusat beli belah

Seorang pekerja warga asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah pusat beli-belah ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan itu pada Ahad lalu.
Seorang pekerja warga asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah pusat beli-belah ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan itu pada Ahad lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja warga asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah pusat beli-belah, di sini ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan itu pada Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri Johor, Husdin Che Amat berkata, dalam kejadian pada jam 10.45 malam itu, mangsa dipercayai melakukan kerja secara bersendirian tanpa memakai sebarang kelengkapan keselamatan (body harness).

"Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang merupakan pekerja am ditugaskan untuk memasang bumbung kaca bangunan berkenaan.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ketika kejadian mangsa bekerja bersendirian sebelum terjatuh ketika memijak salah satu panel bumbung kaca yang belum siap.

"Disebabkan mangsa tidak memakai sebarang peralatan keselamatan, mangsa telah terjatuh ke lantai dengan ketinggian kira-kira lima meter menyebabkan kecederaan yang parah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Husdin berkata, susulan kejadian, JKKP negeri Johor telah mengeluarkan notis larangan bekerja kepada majikan mangsa untuk menghentikan semua aktiviti dibuat sehingga siasatan selesai.

"Kita juga telah mengarahkan majikan untuk menambah baik semua aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan terutama melibatkan kerja-kerja di tempat yang tinggi.

"Majikan juga diminta untuk mengadakan prosedur kerja selamat dan pentaksiran risiko serta pelaporan maut yang telah berlaku membabitkan pihak mereka dan siasatan bagi kes ini akan diteruskan," katanya.

Artikel Berkaitan: