Prosiding kes rasuah Rosmah bermula tegang

Rosmah (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghadapi prosiding bela diri kes rasuah projek hidrid solar pada Khamis.
Rosmah (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghadapi prosiding bela diri kes rasuah projek hidrid solar pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Prosiding bela diri Datin Seri Rosmah Mansor yang dituduh dalam kes rasuah di Mahkamah Tinggi pada Khamis, bertukar tegang apabila pihak pendakwaan dan pembelaan bertikam lidah berhubung isu menghina mahkamah.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan bahawa isteri bekas Perdana Menteri itu tidak menghormati mahkamah kerana ingkar untuk menyerahkan pasport pada 21 November lalu.

Untuk rekod, Pada 15 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Rosmah agar pasportnya dikembalikan bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa yang akan melahirkan anak kedua.

Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan itu dan mengarahkan Rosmah kembali ke Malaysia sebelum atau pada 21 November manakala pasportnya diserahkan semula kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Disember 2021.

Bagaimanapun pada 2 Disember, pasukan pembelaan memohon maaf kepada Mahkamah Rayuan, Putrajaya kerana anak guamnya tidak hadir untuk pendengaran rayuan kes rasuah terhadapnya.

Sri Ram: Mahkamah beri arahan supaya Datin Seri menyerahkan pasport pada 21 November, Datin Seri ingat?

Rosmah: Yang Arif, boleh saya serahkan kepada peguam saya (Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader) untuk beri penjelasan.

Jagjit Singh: Isu hina mahkamah sudah dijelaskan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sri Ram: Ia tidak menyentuh isu peribadi, saya cuma mahu beliau (Rosmah) hormat pada angkat sumpah yang dibuat di mahkamah.

Hakim Mohamed Zaini: Beginilah, bolehkah kita beri peluang kepadanya untuk menjelaskan kenapa ia berlaku.

Sri Ram: Boleh saya cadangkan, beliau boleh jawab ya atau tidak.

Akberdin: Pada hari berkenaan, Yang Arif dah tanya dengan sangat jelas malah kami sudah beri penjelasan, tindakan (pendakwaan) ini hanya membuang masa mahkamah.

Rosmah, 70, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah hadir di Mahkamah Rayuan lepas lawat anak di Singapura