Rosmah hadir di Mahkamah Rayuan lepas lawat anak di Singapura

Rosmah hadir di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah dan menggugurkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.
Rosmah hadir di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah dan menggugurkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah dan menggugurkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Rosmah tiba di mahkamah sebelum jam 9 pagi Isnin, dengan memakai baju kurung moden warna putih merah jambu serta berselendang putih, sebagaimana yang dijadualkan minggu lalu.

Prosiding diteruskan dengan hujahan daripada Sri Ram manakala peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader bagi pihak Rosmah.

Ketika prosiding, Jagjit turut memohon maaf kepada mahkamah di atas ketidakhadiran anak guamnya minggu lalu.

Mahkamah Rayuan pada Khamis memerintahkan Rosmah hadir ke mahkamah pada Isnin, untuk pendengaran rayuannya bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes tersebut.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah untuk menahan pengeluaran waran tangkap terhadap Rosmah, yang merupakan perayu dalam permohonan itu.

Dalam prosiding Khamis lalu, Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar sambungan hujahan rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

Bagaimanapun isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu gagal hadir pada prosiding berkenaan, menyebabkan Sri Ram memohon agar waran tangkap dikeluarkan serta jaminan RM1 juta dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Rosmah supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa yang ketika itu sarat mengandung dan bakal melahirkan anak kedua.

Bagaimanapun, Jagjit Singh berkata, beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya atas ketiadaan Rosmah dan memohon penangguhan sehingga Isnin.

Peguam itu berkata, terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan anak guamnya selepas mengambil kira Laluan Perjalanan Lengkap Vaksini (VTL) yang baru diperkenalkan.

Hakim Hanipah kemudian bertanya sama ada Rosmah telah kembali ke Malaysia, dan Jagjit menjawab bahawa anak guamnya masih berada di Singapura.

Dalam prosiding sebelum ini, Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan kes rasuah beliau dalam usaha untuk bebas daripada tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pada 4 Oktober Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara menunggu selesai rayuan beliau dalam kes sama.

Susulan keputusan itu, Rosmah, 69, memberi keterangan sebagai saksi pembelaan di Mahkamah Tinggi pada 5 Oktober lepas.

Perbicaraan dijadualkan bersambung pada 8 Disember.