Perak berusaha teruskan projek terdahulu

Ahmad Faizal pada Sidang Dun Perak, hari ini.
Ahmad Faizal pada Sidang Dun Perak, hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak komited untuk meneruskan projek yang dirancang pentadbiran sebelum ini termasuk mengadakan perbincangan dengan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang) berkata, pelaksanaan itu dengan syarat projek berkenaan perlulah yang memberi impak kepada rakyat dan dibuat dengan harga setimpal.

“Pada ketika ini banyak projek terdahulu ditangguhkan dan sebahagiannya dihentikan. Sebolehnya kita mahu ia diteruskan, tetapi kita perlu memastikan setiap projek itu mempunyai impak yang baik kepada rakyat dan dibuat dengan harga setimpal dengan projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kepayang).

Ahmad Faizal berkata, diakui terdapat beberapa kawasan dalam negeri ini tidak mendapat pembangunan seimbang yang setara dengan tempat lain.

Artikel Berkaitan:


“Hasrat kerajaan untuk pastikan pembangunan dijalankan mengikut kehendak rakyat. Penjawat awam terutama pegawai daerah perlu memainkan peranan menyalurkan maklumat supaya sebarang bentuk pembangunan dapat dilakukan atau disegerakan.

“Menerusi Bajet Negeri 2019, sebanyak RM421.28 juta diperuntukkan untuk tujuan pembangunan dan penyaluran ini adalah melalui jabatan serta agensi kerajaan,” katanya menjawab soalan lisan daripada Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol).