MAIWP hulur RM1 juta bantuan banjir

Shahidan (tiga kanan) menerima replika cek dari Dr Mohd Daud dalam Majlis Penyampaian Bantuan kepada mangsa banjir hari ini. - Foto Bernama
Shahidan (tiga kanan) menerima replika cek dari Dr Mohd Daud dalam Majlis Penyampaian Bantuan kepada mangsa banjir hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat banjir di Wilayah Persekutuan serta mangsa banjir di kawasan yang bersempadan seperti Selangor dan Negeri Sembilan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula bergerak membantu kawasan lain yang turut terjejas termasuk Sepang, Sri Muda dan Bukit Changgang atas dasar kepentingan negara.

“Bagi kawasan Wilayah Persekutuan, bantuan kewangan telah diberikan kepada keluarga yang terlibat, manakala kawasan sempadan (Wilayah Persekutuan), bantuan dalam bentuk makanan, peralatan mencuci dan pembaikan telah dihantar,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Shahidan berkata, YWP menawarkan perkhidmatan mencuci rumah kebajikan seperti rumah orang tua dan orang kurang upaya (OKU), selain telah membuka kaunter pertolongan di kawasan Sri Muda, Shah Alam untuk orang ramai mendapatkan bantuan seperti makanan dan peralatan mencuci.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, selain bantuan tunai, MAIWP turut menyalurkan bantuan barangan keperluan kepada mangsa banjir sekitar Wilayah Persekutuan seperti sejadah dan keperluan wanita.

“Selepas bantu semua mangsa di Wilayah Persekutuan, kami akan bantu negeri sempadan dengan melihat bajet dan masuk dalam mesyuarat pada Jumaat ini.

"Kami akan guna sebanyak mungkin wang yang ada untuk bantu baiki sekolah, bantuan bayaran sewa rumah dan bantuan untuk bayar hutang kereta yang rosak bagi mangsa yang terlibat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: