Banjir: KKM hantar pasukan JKN Kedah bantu Selangor

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantar Pasukan Petugas Bencana Ground Zero Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah untuk membantu operasi bencana banjir KKM di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di laman Facebook beliau pada Khamis berkata, pasukan itu terdiri daripada 27 anggota yang bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Sultan Abdul Halim (Sungai Petani) dan Hospital Kulim.

Anggota berkenaan melibatkan dua pakar kecemasan, lima pegawai perubatan, dua jururawat terlatih, lapan penolong pegawai perubatan, dua pembantu perawatan kesihatan, lima pemandu dan tiga pekerja teknikal.

Dr Noor Hisham berkata, pasukan itu dilengkapi Mobile Resus Unit, Unit Mobile Command Vehicle, Unit Ambulans, Unit Rapid Response Vehicle dan tiga khemah untuk perawatan pesakit secara mobile (pasukan bergerak) dan statik.

Beliau berkata, pasukan itu tiba di Selangor pada 11.30 malam Khamis dan akan mula bergerak ke kawasan operasi pada 9 pagi serta berpusat di Klinik Desa Sungai Lui, Selangor.

"Apabila berganding bahu dengan pasukan kerja Pejabat Kesihatan Hulu Langat, kami yakin mereka akan dapat sama-sama menyampaikan perkhidmatan kesihatan berpakar dan memberi manfaat kepada mangsa dan komuniti berkenaan, terutama kepada mereka yang menghadapi masalah akses," katanya.

Setakat 7.20 pagi Khamis, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir di Selangor adalah 21,941 orang yang ditempatkan di 106 pusat pemindahan sementara (PPS). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 68,341 mangsa banjir di tujuh negeri

Artikel Berkaitan: