Bertuhankan hawa nafsu mudah terperangkap rasuah

Abdullah Bukhari ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah: Sanggup Tunggang Agama yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.
Abdullah Bukhari ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah: Sanggup Tunggang Agama yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at Malaysia (Murshid) dan pendakwah Malaysia, Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim berpandangan bahawa manusia yang bertuhankan hawa nafsu lebih mudah diperangkap dan terpedaya oleh godaan untuk melakukan rasuah.

Ujar beliau, godaan hawa nafsu itu amat berbahaya kerana ia boleh mempengaruhi sifat dan moral seseorang untuk melakukan perkara-perkara buruk sehingga sanggup menunggang agama.

“Hawa nafsu ini ia boleh memporak-perandakan semua benda.

“Apabila orang menjadikan hawa nafsu itu sebagai tuhan, ALLAH kata lanjutan itu, lalu mata hati, telinga dan hati mereka sudah buta dan tidak nampak kebenaran.

“Jadi, impak daripada mempertuhankan nafsu ini manusia sanggup melakukan apa sahaja sehingga sanggup untuk menunggang agama demi kepentingan diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah: Sanggup Tunggang Agama yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis adalah Pemimpin Gereja Methodist Tamil, Bishop Dr Dennis Raj; Setiausaha Agung Persatuan Belia Buddhist Malaysia, Eow Shiang Yen manakala Nurhayati Nordin bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Abdullah Bukhari berkata, cerita orang agama yang terpedaya dengan nafsu dunia sehingga sanggup melakukan rasuah adalah perkara yang sudah berakar umbi dalam masyarakat dunia tanpa mengira agama.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, agama yang dimiliki itu sepatutnya dijadikan sebagai satu alat untuk membersihkan diri daripada rasuah, bukan tunggang agama.

“Cerita melakukan rasuah mengikut hawa nafsu ini, kalau kita ikut, bukan setakat jambatan runtuh, parit tersumbat sehingga banjir dan sebagainya. Bumi dan alam semesta pun boleh hancur.

“Agama sepatutnya difahami mengikut kehendak yang diberikan oleh tuhan. Kalau sekiranya agama tidak diikuti mengikut kehendak tuhan, lama-kelamaan agama juga akan dijadikan alat untuk menjustifikasikan nafsu manusia yang dipertuhankan selain daripada tuhan yang sebenar,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!