MB Johor masih ada kelebihan satu kerusi

DR MD AKBAL
DR MD AKBAL
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kedudukan kerajaan Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad tidak tergugat biarpun berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) Kempas berikutan kematiannya penyandangnya, Datuk Osman Sapian pada Selasa.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Md Akbal Abdullah berkata, gabungan Barisan Nasional ( BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) dan Pas yang membentuk kerajaan negeri pada Februari tahun lalu masih mempunyai kelebihan satu kerusi DUN.

"Gabungan BN, Bersatu dan Pas mempunyai 29 kerusi, manakala Pakatan Harapan ( PH) iaitu Parti Amanah Negara ( Amanah), Parti Keadilan Rakyat ( PKR) dan DAP ada 27 kerusi.

"DUN Kempas disandang ADUN Bersatu. Maka berlaku kekurangan satu kerusi di pihak kerajaan negeri menjadikan 28 kerusi sahaja. Perkara ini tidak memberi kesan kepada kerajaan negeri memandangkan mereka berkelebihan satu kerusi daripada PH," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dr Md Akbal turut memberitahu Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan turut terpakai dalam kekosongan kerusi DUN Kempas.

"Artikel terbabit menyebut tentang kerusi DUN hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun, sebelum tamat sesi Parlimen dan DUN juga perlu diambil kira.

"Tempoh Pilihan Raya Umum ke-14 ( PRU14) pada Mei 2018 sehingga berlaku kekosongan kerusi DUN Kempas sudah lebih tiga tahun, bermakna Pilihan Raya Kecil ( PRK) tidak perlu diadakan. Tetapi perkara ini perlu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Datuk Osman Sapian, 69, meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara Kuala Lumpur kira-kira jam 11.45 malam pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 Oktober lepas, Osman, 69, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas diserang strok ringan. Pada November lalu beliau dilaporkan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor.

Bagaimanapun, pada 13 November lalu Osman dilaporkan kembali stabil tetapi masih berada dalam pemerhatian rapi dan tidak sedar.

Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas PRU14 dan menyandang jawatan itu bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.