'Selepas ini saya akan teruskan usaha Allahyarham'

NOR NEKMAN
NOR NEKMAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Anak Allahyarham Datuk Osman Sapian, Nor Nekman, 47, berazam mahu meneruskan perjuangan ayahnya berbakti kepada masyarakat di Dewan Undangan Negeri ( DUN), Kempas.

Nor Nekman berkata, bapanya sering memberi pendedahan terhadap perkhidmatan dan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat terutama di DUN Kempas.

"Saya sentiasa didedahkan untuk memberi perkhidmatan dan kebajikan kepada masyarakat.

"Sebelum ni saya berada di belakang menyokongnya. Selepas ini saya akan teruskan usaha Allahyarham," katanya ketika ditemui selepas di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah di Taman Mount Austin di sini, pada Rabu.

Nor Nekman turut berkongsi keadaan bapanya yang menunjukkan tanda-tanda positif selepas dibenarkan pulang ke rumahnya di Damansara, Kuala Lumpur selepas mendapatkan rawatan selama dua bulan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor.

Malah katanya bapanya juga kelihatan tenang selepas Asar pada Selasa, namun tahap oksigen mula turun ketika lepas Isyak sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Keadaannya mula menunjukkan perkembangan positif termasuk boleh membuka mata apabila berada di rumah dan menunjukkan reaksi ketika dipanggil.

"Semalam selepas Asar, keadaannya masih tenang. Namun selepas Isyak, tahap oksigennya menurun. Pada kira-kira jam 11.45 malam bapa menghembus nafas terakhir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Nekman turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu urusan perjalanan pengebumian bapanya.