IWK bantu mangsa banjir

Antara bekalan keperluan asas dan makanan disumbangkan IWK kepada mangsa banjir. - Foto FB IWK
Antara bekalan keperluan asas dan makanan disumbangkan IWK kepada mangsa banjir. - Foto FB IWK
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat perkhidmatan pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah menghulurkan bantuan kepada beberapa komuniti yang terjejas akibat bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

IWK dalam satu kenyataan berkata, antara bentuk bantuan yang diberikan ialah perkhidmatan mengosongkan tangki septik secara percuma, penyediaan bekalan keperluan asas dan makanan, serta membantu mencuci rumah mangsa termasuk kakitangan IWK yang terlibat.

“IWK telah memperuntukkan bantuan bernilai RM50,000.00 untuk diagihkan segera kepada keluarga yang terjejas di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS). Pada masa yang sama, IWK turut bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan menyediakan 32 tandas bergerak di lapan PPS.

“Banjir besar yang melanda baru-baru ini juga telah mengakibatkan kerosakan hampir 254 loji rawatan air kumbahan IWK, dengan jumlah kerugian sekitar RM7 juta. Kebanyakan loji-loji yang terbabit berada di sekitar Selangor dan Pahang,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, IWK hanya dapat memeriksa kadar kerosakan yang tepat sebaik sahaja lokasinya boleh dimasuki, serta proses pembaikan disegerakan.

“Proses membaik pulih kerosakan tersebut telah bermula di beberapa loji dan dijangka akan kembali beroperasi dalam waktu terdekat sebaik sahaja peralatan diganti dan bekalan tenaga elektrik pulih.

Artikel Berkaitan:

Logo IWK
Logo IWK

“Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa berlaku kejadian tanah mendap di Selayang dan Petaling Jaya yang mengakibatkan paip pembetungan IWK patah sebagaimana dilaporkan oleh sesetengah media,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, menurut IWK, pihaknya telah mengenal pasti punca sebenar kejadian yang berlaku di kawasan berhampiran Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang, Gombak yang disebabkan oleh kegagalan cerun sehingga menyebabkan paip pembetungan persendirian patah.

“Bagimanapun paip pembetungan awam yang dikendalikan IWK tidak terbabit dalam insiden terbabit dan masih berada dalam keadaan baik manakala kejadian di Petaling Jaya pula adalah disebabkan oleh paip pembetungan IWK patah dan kontraktor telah menutup kawasan mendapan serta membaikinya dalam kadar segera. Kerja-kerja pembaikan dianggarkan siap dalam tempoh enam hari,” katanya..

Kaunter pembayaran, perkhidmatan pelanggan serta pejabat agensi perakuan untuk negeri Selangor di Loji Rawatan Kumbahan Wilayah (SAM272), Off Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan terpaksa ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak akibat bencana banjir ini.

Pelanggan dinasihatkan menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk urusan pembayaran, aduan dan permohonan pembangunan.