Tak dapat elak jadual padat Liga-M

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

KEPADATAN jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 tidak dapat dielakkan berikutan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, pelaksanaan PKP menyebabkan saingan Liga-M terpaksa ditangguhkan beberapa kali musim ini.

“Perubahan jadual (Liga-M) bagi kalendar 2021 sememangnya tidak dapat dielakkan disebabkan PKP, penangguhan perlawanan dan tempoh kuarantin yang perlu dilalui skuad kebangsaan tahun ini.

“Situasi itu sudah tentu memberi kesan kepada semua pasukan Liga-M termasuk skuad kebangsaan. Pihak MFL sudah berusaha sedaya upaya untuk menguruskan penjadualan semula Liga-M dengan baik.

“Masalah yang timbul bukan berkaitan dengan isu komunikasi, tetapi lebih kepada situasi pandemik Covid-19 dan juga kekangan-kekangan yang kita hadapi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini menjadi sasaran penyokong bola sepak tempatan susulan prestasi buruk skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Biarpun meletakkan sasaran mara ke pentas final pada edisi kali ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu terpaksa 'menutup buku' lebih awal apabila tersingkir di peringkat kumpulan.

Kekalahan 1-4 kepada musuh tradisi, Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Ahad lalu memusnahkan impian Harimau Malaya untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Persiapan singkat Harimau Malaya bagi menghadapi 'Piala Dunia Asia Tenggara' itu akibat kepadatan jadual Liga-M dikatakan menjadi antara sebab Harimau Malaya gagal menyerlah di bumi Singapura.

“Bagi mengelak perkara sama berulang pada masa akan datang, MFL akan sentiasa bekerjasama rapat dengan FAM dalam merangka jadual perlawanan Liga-M musim depan.

“Apa pun, kami berharap pada tahun 2022 nanti tidak ada lagi sekatan-sekatan yang menyebabkan Liga-M terpaksa ditangguh,” ujarnya yang juga bekas Setiausaha Agung FAM.