12 kru MT Ocean Pride dicari bantu siasatan rompakan diesel

Dalam kejadian 5 Oktober lalu, kapal MT Ocean Pride ditinggalkan tanpa kru dan kargo diesel bernilai lebih RM4.86 juta juga telah dicuri daripada kapal tersebut. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Dalam kejadian 5 Oktober lalu, kapal MT Ocean Pride ditinggalkan tanpa kru dan kargo diesel bernilai lebih RM4.86 juta juga telah dicuri daripada kapal tersebut. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang mencari 12 kru kapal MT Ocean Pride bagi membantu siasatan rompakan kargo diesel bernilai RM4.86 juta di perairan Tanjung Siang, dekat Kota Tinggi, 5 Oktober lepas.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, 12 kru warga Indonesia itu dicari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 dan 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) susulan pengeluaran notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

“Pada 5 Oktober lalu, Kapal MT Ocean Pride berdaftar di negara Cook Islands dalam pelayaran dari Singapura menuju ke Dili East Timor bersama dengan 12 kru dan pada jam 1 tengah hari, Maritim Malaysia telah menerima laporan awam berkaitan kapal tersebut yang disyaki berlaku cubaan rompakan di kedudukan 23.6 batu nautika timur, Tanjung Siang.

"Hasil pemeriksaan oleh aset Maritim Malaysia di lokasi mendapati kapal tersebut ditinggalkan tanpa kru dan kargo diesel beranggaran 1,800,305 liter diesel bersamaan RM4,860,823.50 juga telah dicuri daripada kapal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Nurul Hizam berkata, kesemua kru lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Haryadi Tri Tomi (nombor passport B9706316), Mangalik Despiandri (C7309394), Nordiansyah Muhammat (C1366351), Pasaribu Suherri Nanda (C2081744) dan Pinem Jendri (C6787829).

Turut dicari Prasetyo Agung (C7021189), Saputra Pandu Prasetya (C7573439), Siddiq Muhammad (C7309737), Silaban Rusman (B6670491), Syahputra Haloho Marnaek (C7307752), Tarigan Harry Pranata (C7308182) dan Yusran (C3899964).

Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengenali penama-penama berkenaan diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Putrajaya, Komander (M) Mohd Affandi Ismail di talian 03-89957935.

"Pihak yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Johor Leftenan (M) Mohd Feerdaus Daud di talian 07-8916595 atau ke pejabat APMM berhampiran," kata Nurul Hizam. - Bernama

Artikel Berkaitan: