Sila log masuk terlebih dahulu.

Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dilancarkan

Rina ketika ditemui dalam sidang media pada Majlis Bantuan Mangsa Banjir di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
Rina ketika ditemui dalam sidang media pada Majlis Bantuan Mangsa Banjir di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir dilancarkan hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, inisiatif itu dilaksana bagi memberi peluang kepada orang ramai dan syarikat korporat untuk menyumbangkan bantuan melalui saluran yang betul.

Beliau berkata, sumbangan wang tunai boleh terus disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di nombor akaun Alliance Islamic Bank Bhd 160140010004801.

“Saya memohon untuk kita bersama-sama membantu, jadi kepada semua pihak sama ada individu, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau syarikat korporat yang ingin menyalurkan bantuan boleh disalurkan kepada YKN,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan tabung berkenaan di sini pada Selasa.

Menurutnya, setiap sumbangan wang tunai akan dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Rina yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, Shapadu Group menjadi syarikat korporat pertama menyumbang kepada tabung berkenaan dengan sumbangan RM150,000.

Syarikat itu turut menyediakan 1,000 pek makanan hari ini untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar Selangor yang tidak ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Katanya penyumbang juga boleh membantu mangsa banjir dalam bentuk barangan yang boleh dikumpulkan dan dihantar ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Rina berkata,peruntukan berjumlah RM35 juta telah disediakan bagi bantuan bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khusus untuk bencana banjir kali ini.

Katanya, kementerian itu juga masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk peruntukan tambahan bagi menangani impak bencana itu. - Bernama