27 sen sehari untuk nikmati perkhidmatan jalur lebar

Zahidi menjawab soalan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Zahidi menjawab soalan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna secara umumnya boleh menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih dengan harga serendah 27 sen sehari.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pakej asas jalur lebar mudah alih prabayar ditawarkan pada harga RM10 manakala harga pakej asas jalur lebar mudah alih pascabayar ditawarkan pada harga RM8.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau pakej dan harga ditawarkan kepada pengguna bagi memastikan mereka dapat menikmati internet pada harga yang berpatutan,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai strategi kerajaan dalam memastikan harga capaian internet 4G adalah berpatutan terutamanya untuk golongan B40.

Zahidi berkata, pembekal perkhidmatan mudah alih utama juga menawarkan internet secara percuma sebanyak 1 gigabit (GB) setiap hari, bersamaan 30GB data percuma setiap bulan bermula dari 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini.

Selain pakej asas, Zahidi berkata, kebanyakan syarikat telekomunikasi mudah alih utama juga telah menawarkan pakej data tanpa had untuk pelan prabayar pada harga serendah RM30 sebulan mulai Jun 2020, bersamaan RM1 sehari.

"Digi (syarikat telekomunikasi) juga menawarkan pakej khas data kepada belia berumur 12 hingga 24 tahun yang melanggan pakej prabayar, pada harga RM30 sebulan untuk 15GB data kelajuan tinggi," katanya.

Beliau berkata, bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berkelajuan tinggi, ada syarikat penyedia perkhidmatan yang menawarkan pakej asas 30 Megabit sesaat (Mbps) pada harga RM80 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Bagi kawasan yang tidak ada liputan jalur lebar tetap berkelajuan tinggi, Zahidi berkata, Telekom Malaysia (TM) menawarkan pakej Broadband Lite Package pada harga RM38 dengan data sebanyak 50GB, selain pakej yang lain.

"Memandangkan sasaran pakej jalur lebar talian tetap adalah kepada penggunaan isi rumah dan dengan mengambil kira laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa purata isi rumah untuk tahun 2019 adalah empat orang, ini bermaksud harga jalur lebar talian tetap untuk setiap pengguna isi rumah adalah lebih kurang 32 sen sehari.

"Jelas, terdapat pelbagai pilihan yang ditawarkan mengikut keperluan dan tahap kemampuan pengguna iaitu melalui jalur lebar mudah alih dan jalur lebar tetap tanpa wayar," katanya. - Bernama