Didenda RM10,000 buat hantaran jelik fitnah Agong, bekas PM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana membuat penghantaran jelik dan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebuah blog.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Lai Yuet Ming, 65, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu pada 6 Disember lepas.

Yuet Ming didenda RM6,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan membuat penghantaran tersebut terhadap Yang di-Pertuan Agong manakala denda RM4,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan membuat penghantaran jelik dan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Muhyiddin.

Wanita itu didakwa membuat kenyataan membabitkan Yang di-Pertuan Agong dalam blog pada 21 Mac 2020, dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Bagi perbuatan itu, pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Yuet Ming juga didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik terhadap perdana menteri ketika itu, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui blog yang sama pada 23 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Kedua-dua pautan itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada jam 1.40 petang, 6 Mei 2020 dan pada jam 10 malam, 21 Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang manakala peguam Rajsurian Pillai mewakili Yuet Ming. - Bernama