Dewan dijadikan PPS perlu didaftar mudahkan salur bantuan

Noh (dua dari kanan) beramah mesra bersama mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Bestari Jaya di sini pada Isnin.
Noh (dua dari kanan) beramah mesra bersama mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Bestari Jaya di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor diminta mendaftarkan Dewan Orang Ramai Kampung Bestari Jaya sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini bagi memudahkan semua saluran bantuan dapat disalurkan oleh kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pada masa ini kebanyakan penduduk tidak mahu berpindah ke PPS berhampiran berikutan laluan masuk dan keluar ke kampung itu ditenggelami banjir.

Malah, katanya, penduduk memberi alasan lebih selesa tinggal di dewan itu kerana jarak dari rumah lebih dekat dan memudahkan mereka memantau keadaan rumah mereka yang ditenggelami banjir.

"Pihak kerajaan telah berjumpa dengan penduduk untuk memindahkan mereka di PPS tetapi penduduk tidak mahu berpindah kerana mereka lebih selesa tinggal sementara di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Bestari Jaya di sini pada Isnin.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pada masa ini penduduk hanya menerima bantuan daripada UMNO Bahagian Tanjong Karang.

"Dewan ini tidak berdaftar sebagai PPS menyebabkan mereka tidak layak menerima bantuan RM1,000 seperti diumumkan kerajaan.

"Bagaimanapun, saya meminta PDT Kuala Selangor supaya mewartakan dewan ini sebagai PPS bagi memudahkan penduduk menerima semua bantuan disalurkan kerajaan," katanya

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kejadian banjir sejak Ahad itu telah mengakibatkan 500 penduduk di kampung itu terjejas.

"Kita lihat ada penempatan penduduk roboh akibat banjir, malah kenderaan kecil juga tidak boleh masuk ke kampung ini.

"Kawasan ini dahulunya lombong sebab itu ada kawasan perumahan rendah yang mengalami banjir," katanya.

Selain itu, Noh berkata, perkara itu sudah dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Kuala Selangor pada Isnin.

Katanya, pada mesyuarat itu juga bersetuju untuk menubuhkan bilik gerakan khas banjir di peringkat daerah.

"Saya minta di setiap PPS mestilah diwujudkan klinik sementara memandangkan kita dalam darurat Covid-19.

"Saya minta setiap PPS wajib disediakan pusat kesihatan kecil untuk membolehkan penduduk membuat pemeriksaan terutamanya dalam kalangan mereka yang uzur dan bayi baru lahir yang memerlukan pemeriksaan kesihatan," katanya.