Banjir: 7,047 anggota polis dikerah di lapan negeri

Mazlan (dua, kanan) pada sidang media selepas merasmikan Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Kedah, Wilayah Satu Kedah.
Mazlan (dua, kanan) pada sidang media selepas merasmikan Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Kedah, Wilayah Satu Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 7,047 anggota polis digerakkan di lapan buah negeri bagi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah tersebut membabitkan 568 pegawai dan 6,479 anggota yang dikhaskan untuk mencari dan menyelamat mangsa banjir.

Menurut beliau, bagi negeri-negeri yang tidak terlibat diminta bersiap-sedia pada bila-bila masa untuk membantu negeri yang terjejas jika dikerahkan.

"Bagi banjir memang kita gerakkan aset bukan sahaja di negeri lain tapi ada juga dari Bukit Aman sebab kita mendapati bahawa perlu ada aset tambahan membantu mangsa banjir.

"Kita setakat sekarang telah mengerakkan keanggotaan sebanyak 7,047 yang melibatkan 568 pegawai dan 6,479 anggota turun padang di setiap negeri terkesan akibat banjir," katanya pada sidang akhbar di Alor Setar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Markas Taktikal Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah, Wilayah Satu Kedah dan turut hadir Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Markas Taktikal PPM Kuala Kedah itu diubah suai dengan kelengkapan lebih baik melibatkan kos RM200,000.

Artikel Berkaitan:

Mazlan menandatangani plak perasmian Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Kedah, Wilayah Satu Kedah.
Mazlan menandatangani plak perasmian Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Kedah, Wilayah Satu Kedah.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihak berkuasa negara sentiasa bersiap sedia pada bila-bila masa untuk membantu rakyat di negara ini di dalam semua situasi termasuk bencana alam.

Menurutnya, negeri-negeri yang terlibat banjir adalah Kelantan, Pahang Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak.

"Sebab isu sekarang ini (ada yang) kata tak nampak polis (turun membantu rakyat semasa banjir). Saya nak maklumkan di sini bahawa 7,047 anggota turun padang di kawasan yang kena banjir.

"Buat masa ini kita minta negeri lain bersiap-sedia sebab kita tak tahu nanti kalau negeri mereja berlaku (banjir juga) macam mana. Tapi kita juga minta Bukit Aman turun padang membantu mereka yang terjejas banjir," ujarnya.

Astro Awani melaporkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di lapan negeri di Semenanjung terus menunjukkan peningkatan dengan hampir 50,000 mangsa sehingga jam 12.30 tengah hari tadi.

Laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa terjejas kini 49,866 daripada 14,469 keluarga. Mangsa kini ditempatkan di 400 pusat pemindahan sementara (PPS).