Beberapa jalan di KL masih ditutup, 21 tanah runtuh dilaporkan

Penduduk Taman Sri Nanding mula membersihkan kediaman masing-masing selepas dilanda banjir ketika tinjauan di Hulu Langat hari ini. Foto Bernama
Penduduk Taman Sri Nanding mula membersihkan kediaman masing-masing selepas dilanda banjir ketika tinjauan di Hulu Langat hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa jalan terjejas di ibu negara sejak semalam akibat banjir masih ditutup, selain 21 insiden tanah runtuh dilaporkan pada Ahad.

DBKL dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan jalan yang masih ditutup ialah Jalan Rahmat berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), Jalan di Kampung Seri Delima, Jinjang Selatan dan Lorong Jambu Laut, Kampung Batu Delima.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan jalan lain yang terjejas semalam telah dibuka kepada umum antaranya Jalan Melaka, Jalan Raja Chulan dan semua jalan berdekatan Leisure Mall Cheras.

DBKL dalam pada itu, mengenal pasti 21 lokasi tanah runtuh antaranya Jalan Kelantan di Bukit Persekutuan, Jalan Bukit Ledang di Damansara, Jalan Pantai Permai di Pantai Hillpark, Lorong Burhanuddin Helmi 4 di Taman Tun Dr Ismail dan Jalan Segambut di Segambut Tengah.

"Pihak Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) telah dilantik oleh DBKL untuk membuat kajian bagi mengenal pasti tindakan penyelesaian yang sesuai untuk dilaksanakan," menurut kenyataan itu.

DBKL juga mengenal pasti 37 lokasi pokok tumbang dan dahan serkah menerusi siasatan di tapak dan aduan awam antaranya di Jalan Bukit Damansara 195, Jalan Pantai Permai dan Muzium Di Raja Bukit Petaling (Pintu 2).

DBKL berkata, seramai 1,275 anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat ditugaskan menjalankan operasi membantu dan menyelamat serta menjalankan kerja pembersihan.

Menurut DBKL, kerja pembersihan dilakukan dengan bantuan Alam Flora di lokasi banjir yang telah surut banjir bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur berada dalam keadaan bersih dan selesa untuk dikunjungi.

Artikel Berkaitan:

"Warga kota dinasihatkan supaya kekal di rumah jika tiada urusan penting di luar," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan seramai 530 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 143 mangsa dari Kampung Periuk, 413 dari Kampung Pasi, dan lapan dari Kampung Batu Bata. - Bernama