Pacquiao ketepikan politik bantu mangsa Taufan Rai

Bantuan bekalan yang dihantar Pacquiao (gambar kecil) termasuk beras, makanan dalam tin, kopi dan air botol. - Foto Agensi
Bantuan bekalan yang dihantar Pacquiao (gambar kecil) termasuk beras, makanan dalam tin, kopi dan air botol. - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Calon Presiden Filipina, Senator Manny Pacquiao menghantar kumpulan bantuan pertama terdiri daripada lebih 31.2 metrik tan bekalan makanan ke wilayah Cebu dan Pulau Bohol untuk membantu mangsa terjejas Taufan Odette atau digelar Rai oleh komuniti antarabangsa yang telah meragut lebih 70 nyawa di negara itu.

Bekas bintang tinju itu memaklumkan bantuan tersebut akan diserahkan kepada Gabenor Cebu, Gwen Garcia untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan teruk walaupun pemimpin wanita berkenaan dengan lantang pernah menyatakan beliau tidak akan menyokong pencalonan Pacquaio.

"Ketika ini, kita perlu mengetepikan politik dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," ujar juara dunia lapan kali itu lagi.

Kira-kira 5,000 bungkusan mengandungi pelbagai barangan bantuan turut disediakan pasukan Pacquiao di bandar General Santos dan sedia diedarkan ke kawasan terjejas Rai malah beliau sendiri menyelia proses tersebut di sebuah gudang milik keluarganya.

Menurutnya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada 'Operasi Bantuan Bersatu' yang bertujuan menggerakkan multi partisan untuk mangsa Rai.

Sejak malam Jumaat lalu, Pacquiao telah berkoordinasi bersama kakitangannya, pemimpin politik, penyokong dan ketua pelbagai pertubuhan untuk memastikan ketersediaan penghantaran bantuan segera kepada mangsa Rai.

Selain itu, beliau juga mengarahkan pasukannya melakukan tinjauan melalui darat dan udara bagi mengenal pasti kawasan terjejas setelah lebih 300,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Difahamkan, kelajuan angin kencang dibawa Rai menurun daripada 195 kilometer sejam (km/j) kepada 150 km/j dan ia dilaporkan kini menuju ke Vietnam. - Agensi

Artikel Berkaitan: